rap

Terlepas 'badi'

Oleh Ramlah Zainal

Bakat lakonannya diiktiraf selepas mengungguli trofi Pelakon Baru Lelaki Terbaik menerusi filem Juvana 2: Terperangkap Dalam Kebebasan pada Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28).

Namun, bagi pelakon berbakat besar Adam Shahz, 35, trofi itu seolah-olah menjadi badi buatnya kerana selepas kemenangan itu dia tidak menerima tawaran berlakon selama enam bulan.

“Saya juga tidak pernah ‘demand’ soal bayaran selepas menang trofi pada tahun lalu. Apa yang penting, kadar bayaran yang diterima berpatutan dengan kualiti lakonan.

“Saya berharap penerbit dan pengarah drama dan filem tidak takut menawarkan saya berlakon selepas ini,” katanya.

Bagaimanapun, berkat doa dan kesabaran, penerbit Little Film Production menawarkan Adam berlakon projek filem terbaru berjudul Kalla, hujung tahun ini.

Selain Adam, filem Kalla arahan Wan Hasliza menampilkan barisan pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Azhan Rani, Vanida Imran, Zaidi Omar, Riz Amin dan Fara Ali Khan.

“Alhamdulillah, masih ada rezeki saya dalam bidang lakonan selepas enam bulan tidak ada tawaran berlakon.

“Selepas memperbaiki diri dan menjaga hubungan dengan Allah, rezeki dipermudahkan dalam bidang lakonan.

“Watak saya dalam filem Kalla juga menarik iaitu sebagai anggota PACSEA, badan antikeganasan apabila saya bergandingan dengan Azhan sebagai rakan setugas,” katanya.

Terdahulu, Adam turut berlakon watak pembantu dalam Teater 404 arahan Raja Azrey yang dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, sebelum ini.

“Ia teater pertama lakonan dan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaik. Watak utama teater itu, Tauke banyak membantu saya untuk menjayakan babak kami.

“Saya juga impi untuk beraksi di pentas bangsawan pula selepas ini,” katanya.

Antara filem lakonannya sebelum ini ialah Juvana 3: Perhitungan Terakhir yang turut menampilkan pelakon asal Zahiril Adzim, Johan As’ari, Hasnul Rahmat dan ramai lagi.

Kesihatan beransur pulih

Sebelum ini, Adam pernah membuat pengakuan dirinya disihir seseorang yang sangat dikenalinya.

Gara-gara disihir, Adam mendakwa mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti sakit sendi dan sukar tidur pada waktu malam.

Lebih teruk lagi, berat badannya turun mendadak daripada 70 kilogram kepada 50 kilogram dalam tempoh sebulan.

Namun, bekas suami pelakon Fatin Afeefa ini tetap tabah dan positif berdepan semua ujian yang datang itu.

“Alhamdulillah, selepas mengamalkan rawatan perubatan alternatif, kesihatan beransur pulih dan kini meneruskan rutin harian seperti biasa.

“Selain itu, saya banyak membuat solat sunat dan menjaga solat lima waktu.

“Bagaimanapun, saya sudah memaafkan perbuatan pihak yang menyihir saya itu. Semoga dia bertaubat dan kembali ke jalan diredai Allah,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 7:53am
d