rap

Sarah tangguh pengajian

Oleh Nor Akmar Samudin

Pelakon baru yang mahu dikenali dengan nama Sarah Daewood, 25, ini mencuba bakat lakonannya sebagai pelakon tambahan dan di pentas teater sebelum menceburi bidang lakonan secara serius.

Dia yang menyambung pengajian dalam jurusan teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 2016 terpaksa menangguh dulu pengajiannya bagi meneruskan minat dalam bidang lakonan.

“Lambat-laun saya akan habiskan juga baki pengajian yang ada dua tahun lagi. Selain suka berlakon, saya juga perlu mengumpul wang bagi menampung kos pengajian,” katanya.

Sarah pernah berlakon dalam drama Kisah Yang Hilang dan Wali Untuk Watikah. Dia juga baru selesai berlakon drama berkonsepkan ketenteraan berjudul Gempur Wira terbitan Teknik Jaya Global Sdn Bhd arahan Fairuz Loy.

Menurut Sarah, penerbit drama itu sendiri, Abdul Rashid Ahmad Dahalan atau Acio yang menawarkannya berlakon.

Walaupun bukanlah watak besar, Sarah bersyukur diberikan peluang itu dan berjumpa dengan ‘orang yang betul’.

“Sebelum ini ada yang mengaku sebagai ejen mencari bakat baru kononnya ada syarikat produksi sedang mencari pelakon baru. Bagaimanapun, selepas membuat bayaran sampai ke sudah tiada satu pun tawaran yang datang dan ejen itu lesap entah ke mana.

“Walaupun tiada perkara buruk menimpa saya, ia tetap pengalaman menakutkan kerana saya pernah dengar ada pihak yang minta bukan-bukan jika mahu berlakon. Kepada mereka yang berminat mahu berlakon pergilah berjumpa orang yang betul dan jangan segan untuk bertanya.

“Kadang-kadang ada pihak apabila melihat kita ghairah nak jadi pelakon, dia akan mendekati dan mengaku kenal semua penggiat seni. Janganlah terjebak dengan orang seperti itu kerana tanpa pertimbangan wajar, pelbagai perkara buruk boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, Acio yang menemani Sarah ke sesi fotografi baru-baru ini berkata, kali pertama dia berjumpa Sarah, dia dapat melihat kesungguhan gadis itu untuk berlakon dan kebetulan syarikat produksi yang diuruskan bersama rakan kongsinya, Abd Wahab Ahmad dalam proses menerbitkan drama Gempur Wira.

“Kami beri dia memegang watak sebagai Malisa, teman wanita kepada seorang lagi pelakon baru. Jika tiada aral, Gempur Wira akan melakukan penggambaran untuk blok kedua dan kemungkinan saya akan kembangkan watak Malisa dan diserapkan sebagai anggota tentera,” katanya.

Menurut Sarah, dia mahukan watak yang menuntut cabaran tinggi terutama watak jahat.

“Walaupun ada yang membantu dan memberikan jalan kepada saya, saya tak boleh berasa terlalu selesa. Saya perlu buktikan kepada Acio yang banyak menolong saya boleh jadi pelakon serba boleh.

“Saya tak mahu cakap mengenai persaingan kerana apa yang penting saya mesti bekerja keras dan menonjolkan bakat lakonan saya. Lebih baik saya terus mencari ilmu lakonan daripada memikirkan hal orang lain,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 4:40am
d