rap

Yazer kembali bersama Teruja

Oleh Najiy Jefri

Selepas sekian lama menyepi, bintang program Akademi Fantasia 3 (AF3), Yazer Yusof kembali dengan buah tangan terbaru berjudul Teruja.

Berada di bawah pengurusan Macam Macam Music yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah, pemilik nama sebenar Mohd Yazer Yusof yakin namanya mampu menjadi sebutan dan dikenali peminat industri seni tempatan.

“Teruja adalah hasil kerjasama saya bersama Jonathan Tse yang juga pemilik Macam-Macam Music.

“Biarpun Jonathan adalah seorang komposer yang baru, saya mahu kami sama-sama mendaki puncak dalam industri seni tempatan dan memperkenalkannya dalam industri seni tanah air.

“Pasti ramai mempertikaikan mengapa saya tidak menggunakan komposer yang sudah mempunyai nama sebagai cara terbaik untuk memasarkan diri, tapi saya memilih tidak mengambil jalan mudah atau menumpang populariti sesiapa.

“Ini kerana saya percaya menerusi lagu Teruja, pendengar pasti menyukai susunan lagu ini yang lebih segar apabila kali ini saya tampil dengan genre muzik moden rock,” katanya.

Menurut Yazer, sebagai penyanyi dia sedar langit industri muzik sudah berubah dan dia perlu mengikuti trend yang diminta pendengar.

“Lirik lagu ini ditulis saya bersama Jonathan. Kami sama-sama berbincang untuk menaikkan nama kami menerusi lagu ini.

“Alhamdulillah di Sabah kami menerima maklum balas positif daripada beberapa penggiat seni tempatan terhadap lagu ini apabila mereka menyukai perubahan muzik yang saya cuba bawakan,” katanya.

Ditanya mengenai kehilangannya dalam industri seni, Yazer berkata, dia tidak pernah menyepi sebaliknya kebanyakan jemputan nyanyian diterima di Sabah.

“Saya banyak menerima undangan nyanyian di Sabah. Begitu juga isteri saya Ekin Rahman yang sering diundang membuat persembahan di majlis makan malam dan sebagainya.

“Namun jika ada undangan di Kuala Lumpur, saya tiada masalah untuk turun dan menghiburkan peminat di sini,” katanya.

Yazer berkata, dia dan Ekin selalu menerima tawaran membuat persembahan bersama.

“Saya tak kisah dan tak pernah larang Ekin untuk aktif menyanyi biarpun kami sudah mempunyai seorang anak.

“Malah, kami berdua juga selalu menerima tawaran membuat persembahan di Sabah. Terpulang pada dia nak menyanyi atau tidak.

“Kami juga ada terfikir untuk mengeluarkan single duet namun bukan waktu terdekat,” katanya.

Bertambah bahagia

Sementara itu, Yazer menafikan rumah tangganya dengan Ekin sedang bergolak.

Katanya, mereka bahagia melayari kehidupan sebagai suami isteri sejak dua tahun lalu.

“Saya tidak tahu dari mana gosip ini boleh timbul sampaikan ada kawan datang bertanya sama ada saya dan Ekin sudah berpisah.

“Hakikatnya, hubungan kami baik dan tidak ada masalah. Cerita ini sangat tidak berasas dan memalukan,” katanya.

Pasangan kelahiran AF3 itu disatukan 26 Disember 2014 di Labuan, Sabah selepas sembilan tahun bercinta.

Rumah tangga mereka tambah bahagia dengan kehadiran anak lelaki, Muhammad Noah yang kini berusia dua tahun.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 4:42am
d