rap

Nostalgia malar segar

Oleh Najiy Jefri

Tanggal 2 Disember lalu, pentas Auditorium Perdana, Angkasapuri menjadi saksi betapa muzik yang berkualiti takkan lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.

Kerinduan peminat terhadap muzik yang popular sekitar era 60-an sehingga 90-an berbalas menerusi satu persembahan yang gamat dengan sorakan dan tepukan penonton dalam konsert yang dinamakan Dimensi Legenda.

Kehadiran lebih 1,000 penonton yang memenuhi lokasi seawal jam 8 malam membuktikan penyanyi legenda itu masih mendapat tempat di hati peminat. Lebih istimewa, konsert anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu menghimpunkan semua artis ternama atas satu pentas dengan iltizam untuk membangkitkan nostalgia, sekali gus menyemarakkan lagi kerjaya gemilang mereka.

Antara artis yang membuat persembahan Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Andre Goh, Datuk Nash, Fairuz Hussein, A Rahman Onn, Rosemaria, Uji Rashid, Francisca Peter, Ramlah Ram, Rahmat Mega, Kumpulan Nico dan Nora.

Ternyata penghargaan yang diberikan kepada penyanyi lama itu menjadi platform terbaik bagi menarik golongan muda untuk mengenali penyanyi lama yang pernah menggemparkan industri muzik tanah air.

Menerusi konsert yang berlangsung selama dua jam itu, ia terbahagi kepada lima segmen iaitu Kasih Asmara yang menyaksikan persembahan memukau daripada A Rahman Onn menerusi lagu Cincin Emas dan nyanyian Rosemaria (Kisah Masa lalu/Asmara). Tidak ketinggalan, Andre menghiburkan peminat menerusi lagu Baju Hitam dan Joget Sayang Oh Sayang.

Memasuki segmen kedua, penonton semakin bersorak kuat menyaksikan Uji Rashid naik ke pentas mendendangkan lagu Semakin Hari Semakin Sayang. Meskipun kurang sihat, Uji tetap menghiburkan peminat yang sekian lama tidak melihat persembahannya di pentas.

Lebih mengujakan, Fairuz menghiburkan peminat dengan lagunya Kali Pertama. Namun apa yang menarik perhatian malam itu ialah persembahan magis yang diberikan Francisca menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran dan Ku Ke Udara Lagi. Ternyata susunan lagu dan cara nyanyiannya begitu melekat di hati peminat dan penonton yang hadir.

Segmen ketiga pula memperlihatkan penyanyi era 90-an iaitu Rahmat, Ramlah, Nico dan Nora menerusi seleksi lagu yang sehingga kini masih menjadi dambaan peminat industri muzik tempatan.

Bagi Segmen terakhir yang diberi nama Cinta Suci, penonton dihangatkan dengan persembahan Nash menerusi lagu Pada Syurga di Wajahmu dan Tiada Lagi Kidungmu, sekali gus persembahan penutup menyaksikan Khadijah mendendangkan peminatnya menerusi lagu Ku Pendam Sebuah Duka dan Ku Gembira Disampingmu.

Bertemu Francisca usai konsert terbabit, dia akui seronok dan teruja apabila dapat menghiburkan peminat terutama golongan muda yang mungkin kurang mengenali penyanyi lama.

“Saya lihat konsert sebegini wajar diadakan setiap tahun kerana penyanyi lama masih aktif menyanyi dan mampu menghiburkan peminat mereka. Konsert ini juga secara tidak langsung menjadi platform untuk memperkenalkan golongan muda terhadap pelantun lagu yang mereka sering dengar di radio tetapi tidak kenal pemilik suaranya,” kata­nya yang bakal menyambut ulang tahun ke-40 dalam industri seni tanah air tahun depan.

Tambah Francisca, konsert itu juga dapat mengubat rindunya terhadap rakan artis lain.

“Konsert ini mengeratkan hubungan silaturahim antara kami. Lagipun jarang saya lihat konsert yang mengangkat muzik dari era 60-an hingga 90-an atas satu pentas,” katanya.

Kata Francisca, dia berhasrat mengadakan konsert sempena ulang tahun ke-40 dalam industri muzik, namun masih mencari pihak yang sudi menaja supaya impian terbabit dapat direalisasikan.

Bagi Nora, dia akui sudah lama tidak bertandang ke RTM bagi mengadakan konsert secara langsung, namun dia akui gembira apabila penganjuran konsert itu dapat menghargai dan mengiktiraf karyawan lama dalam industri muzik.

“RTM sudah diibaratkan sebagai rumah kedua. Sejak mula menyanyi sehingga kini RTM masih sama dan saya sentiasa rindu untuk membuat persembahan di sini. Bagi saya, RTM satu-satunya stesen televisyen yang menghargai dan memberi pengiktirafan kepada penyanyi legenda. Konsert ini dapat mendidik anak muda untuk menghormati jasa karyawan lama.

Ini kerana tanpa yang lama tiada yang baru. Justeru, kita harus menghargai mereka yang menaikkan industri muzik tempatan hingga ke persada antarabangsa,” katanya.

Program terbabit turut dimeriahkan dengan kehadiran Ogy Ahmad Daud sebagai pengacara.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 12:26pm
d