rap

Bersih gosip cinta lokasi

Oleh Ardini Sophia Sina

Sejak empat tahun lalu, aktor kacak Izzue Islam mengambil pendekatan untuk tidak bersentuhan dengan mana-mana gandingan wanita dalam lakonannya. Sehingga kini, dia masih berpegang teguh dengan prinsip itu dan terus kekal begitu.

Menurut Izzue, meskipun meletakkan itu sebagai syarat, tawaran berlakon tak pernah berkurang. Malahan, rezekinya semakin melimpah ruah. Pihak produksi dan pengarah juga menghormati keputusan itu serta memberi peluang untuk berbincang terlebih dahulu sebelum memulakan penggambaran untuk babak romantik.

Tambahnya lagi, itu adalah salah satu cara membina kepercayaan isteri serta keluarga. Malahan, pendekatan itu berjaya mengekalkan namanya bersih daripada gosip cinta lokasi.

“Lain orang, lain cara. Alhamdulillah, produksi dan pengarah faham prinsip saya. Mereka menghormati dan berbincang cara terbaik menunjukkan suasana romantik tanpa bersentuhan.

“Saya rasa ini keputusan yang tepat. Saya juga bersyukur kerana tidak ada cerita buruk timbul disebabkan babak romantik yang saya lakonkan.

“Setakat ini, saya tidak terfikir untuk langgar prinsip ini walaupun tawaran yang diberikan itu menarik. Saya percaya, setiap babak boleh direalisasikan tanpa membabitkan sentuhan,” katanya.

Bakal muncul dengan single solo baru, Izzue turut berkongsi berita kumpulan Forteen yang dianggotai juga akan tampil dengan lagu baru pada tahun depan.

Izzue yang masih bersama kumpulan itu berkata, dia yakin peminat tidak akan keliru dengan kehadiran dua lagu itu.

“Saya rasa peminat tidak akan keliru kerana genre lagu projek solo yang saya nyanyikan berbeza dengan Forteen.

“Saya akan mempromosikan kedua-dua lagu. Tidak ada istilah melebihkan lagu sendiri dan mengetepikan Forteen.

“Saya masih bersama Forteen, maka tanggungjawab mempromosikan apa saja aktiviti seni bersama kumpulan ini harus saya laksanakan. Tidak ada berat sebelah walaupun saya ada projek solo,” tegasnya.

Baru saja selesai penggambaran filem Xxxray3, jadual kerjaya Izzue padat dengan komitmen sama ada di lokasi penggambaran, jemputan menyanyi mahupun aktiviti promosi.

Namanya mungkin tidak lagi disebut-sebut selepas tamatnya drama Patahnya Sebelah Sayap dan Ops Cinta Din Sardin namun ia tidak bermakna kerjaya Izzue semakin perlahan.

“Saya ada beberapa penggambaran yang perlu diselesaikan. Saya masih duta produk dan menghadiri majlis seni. Mungkin buat masa ini saya tidak ada drama di televisyen menyebabkan kerjaya saya nampak seolah-olah bergerak perlahan.

“Atau mungkin juga tidak ada kontroversi, sebab itu ada yang menganggap karier saya tidak lagi aktif seperti sebelum ini. Bagaimanapun, sesiapa yang mengikuti saya di Instagram mesti tahu aktiviti seni saya.

“Bulan ini, drama lakonan saya mula ditayangkan menerusi slot Seramedi TV3. Akan ada dua filem bakal ditayangkan,” kata Izzue.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 12:28pm
d