rap

Memey tiada niat rahsiakan...

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Memey Suhaiza, 29, tidak berniat merahsiakan kehamilannya daripada pengetahuan suami, Norman Hakim, 41, hingga menjadi individu terakhir mengetahui berita gembira itu.

Kata Memey atau Suhaiza Suhaimi, semuanya berlaku tanpa dirancang ketika keluarga besarnya dan Abby Abadi berkumpul di rumah mereka, Jumaat lalu.

"Ketika saya berbual dengan Abby, saya berkongsi berita kehamilan yang kini masuk tujuh minggu. Kemudian anak-anak juga tahu.

“Saya tidak berniat untuk merahsiakan berita itu daripada Norman kerana baru sahaja dapat tahu selepas membuat pemeriksaan.

“Ingatkan selepas majlis selesai, baru beritahu tetapi tidak sangka dia dapat tahu lebih awal," katanya.

Norman dalam laman Instagramnya petang tadi meluahkan rasa sedihnya kerana menjadi individu terakhir mendapat tahu kehamilan isterinya.

Mendirikan rumah tangga pada 24 September 2011, pasangan ini dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Darwisz Hakim, 4, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 2, dan kini Memey hamil anak ketiga.

Memey gembira kerana perancangan untuk menambah zuriat dipermudahkan dan dijangka bersalin Ogos tahun depan.

"Alhamdulillah keluarga saya bakal bertambah. Saya sangat teruja kerana kami memang merancang menambah anak. Tidak sangka pula berlaku secepat ini,” katanya.

Memey juga tidak menafikan mengharapkan anak perempuan kali ini selepas mempunyai dua anak lelaki.

Katanya, Norman begitu yakin kandungan kali ini bayi perempuan tetapi Memey mengingatkan suaminya jangan terlalu yakin bimbang nanti kecewa.

"Saya tidak kisah tapi sudah tentu saya juga mengharapkan kali ini dikurniakan anak perempuan,” katanya.

Norman mempunyai tiga anak hasil perkahwinan dengan Abby Abadi sebelum ini iaitu Mohd Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha Hakim. Mereka bercerai pada April 2006.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 7:18pm
d