rap

Anggun pun minat Yuna

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI antarabangsa, Anggun Cipta Sasmi, 43, mengakui teringin berkolaborasi bersama Yuna suatu hari nanti dan sangat menyanjung penyanyi kebanggaan Malaysia itu.

Menurut penyanyi Snow on the Sahara itu, dia mendapati Yuna sangat berbeza dan mengaguminya bukan sebagai penyanyi saja bahkan keperibadiannya.

“Saya memang mengaguminya sejak pertama kali berjumpanya tidak lama dulu di Rome (Itali). Dia seorang penyanyi yang sangat berbeza dengan penyanyi lain.

“Dia benar-benar menjadi diri-sendiri dan tiada orang lain boleh menjadi dia. Yuna berbakat, moden, garang dan kuat tetapi lembut. Dia bukan seperti wanita lain yang kita selalu nampak.

“Sewaktu dia datang Paris dan membuat konsert, saya siap menyanyikan lagu-lagunya. Saya akui saya seorang daripada peminatnya yang terbesar,” katanya.

Bagaimanapun, Anggun mengakui belum pasti bila kolaborasi itu akan direalisasikan namun tidak menafikan mungkin tidak lama lagi.

Dalam pada itu, dia berharap akan dapat mengadakan konsert solonya di Malaysia pada masa akan datang. Menurutnya, dia sangat tabik dengan peminat di sini.

“Saya masih ingat kali terakhir membuat persembahan dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza. Kagumnya saya dengan semangat peminat muzik di sini yang bahkan menyanyi sama lagu Snow on the Sahara,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 10:55pm
d