rap

Vincent cukup kental

Oleh Georgie Joseph

Tuah menyebelahi pelakon juga jurulatih kecergasan, Vincent Mallang Alfred, 24, apabila menumpaskan sembilan pencabar lain di cabaran peringkat akhir R U Tough Enough?: The Ultimate Edition di Bandar Sunway, Selangor, baru-baru ini.

Walaupun membuat persiapan pada saat akhir, saingan diberikannya cukup mengagumkan.

Pada cabaran akhir, dia mencurahkan sepenuh tenaganya sehingga membawa kemenangan, sekali gus pulang dengan hadiah berjumlah RM30,000.

Ternyata kemenangan itu bukan sesuatu yang dijangka pelakon filem Perangsang Rentap ini.

Pada mulanya dia merasakan beberapa peserta lain yang akan meraih gelaran itu.

“Saya langsung tidak menyangka akan memenangi kedua-dua pusingan. Mungkin pusingan pertama agak mudah walaupun ditentang Shyan dan Jonathan yang juga pakar ‘crossfit’.

“Berbekalkan persiapan yang termampu, saya cuba lakukan yang terbaik pada pusingan kedua di mana saingan daripada Benny agak sengit. Ketika itu, saya cuma tumpukan yang terbaik untuk melaksanakan setiap cabaran.

“Mungkin dari segi itu juga menjadi kelebihan saya. Memandangkan saya tidak tahu sejauh mana kemampuan sebenar mereka membuatkan saya mengerah lebih lagi tenaga untuk menang setiap cabaran,” katanya.

Apapun, Vincent tidak menafikan motivasi dirinya banyak didorong orang tersayang selain mahu membanggakan warga Sarawak. Mana tidaknya, hanya dia satu-satunya wakil dari sana.

“Ketika melaksanakan cabaran, saya cuma berfikir mengenai studio kecergasan yang baru dibuka, keluarga, kekasih dan rakan yang banyak menyokong saya selama ini. Begitu juga harapan negeri kelahiran saya Sarawak dan Borneo.

“Saya tidak mahu menghampakan setiap mereka yang mahu melihat saya mencipta sesuatu dalam pertandingan ini. Semangat itu yang saya bawa sepanjang persaingan,” katanya.

Dalam pertandingan itu, pemuda keturunan Bidayuh-Kayan ini bertarung dalam dua pusingan sebelum ke pusingan bonus bersama tiga bekas pemenang R U Tough Enough? 2014 dan 2016 sebelum dinobatkan juara.

Pada pertandingan akhir berlangsung di Orange Concourse, Sunway Pyramid itu, semua peserta diuji dengan cabaran yang menguji kekuatan fizikal, ketahanan mental dan daya tahan emosi.

Sorakan penonton menyemarakkan lagi semangat mereka ketika berjuang dan kemudian bertukar menjadi sorakan kegembiraan selepas Vincent berjaya melunaskan cabarannya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pemasaran, Celestial Tiger Entertainment Hong Kong, Shirley Cheong berkata, semangat yang ditunjukkan setiap peserta sangat mengagumkan.

“Mereka mempamerkan kesungguhan, kekuatan dan kecekalan yang hebat. Juaranya, Vincent tidak putus asa walaupun hampir tergelincir dan melakukan usaha berani untuk bangkit semula,” katanya.

Sembilan peserta lain yang bertanding ialah Che Wan Safuan, Jonathan Anthony Lourdes, Lua Yuan Hao, Michael Chen, Mohd Shazwan, Nur Izzati, Ow Ruey Shyan, Poo Mei Chin dan Irfan Rizquin.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 12:22pm
d