rap

Si dia orang biasa

Oleh Najiy Jefri

Selepas sekian lama berstatus solo, pelakon dan penyanyi Erry Putra mendedahkan dia kini diulit bahagia dengan seorang wanita yang bertugas sebagai guru pelatih.

Erry atau nama sebenarnya Mohd Razlan Hamzah berkata, bibit perkenalan mereka bermula ketika dia membuat persembahan di sekolah wanita itu.

Katanya, dia sudah mengenali wanita berasal dari Perak itu sejak dua tahun lalu.

“Lama saya menanti saat ini. Si dia hanya orang biasa dan bukan terbabit dalam industri seni. Dia bekerja sebagai cikgu pelatih di sebuah sekolah. Saya bertemu dengannya ketika dia membuat persembahan di sekolahnya,” katanya.

Kata Erry, dia sudah mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya itu.

“Jujur saya sudah bersedia untuk berkahwin, tapi dia belum lagi. Dia masih menjalani latihan sebagai guru dan saya setia menunggunya.

“Bagaimanapun, perancangan untuk berkahwin itu ada, tapi mungkin dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi. Saya juga bersyukur hubungan kami direstui kedua-dua keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan karier nyanyian, Erry kini tampil secara duet bersama adiknya, Syafiq Putra menerusi lagu berjudul Aku Tahu.

Kata Erry, pemilihan Syafiq diputuskannya sendiri apabila melihat bakat yang dimiliki selain mahu mengetengahkan potensi besar adiknya itu.

“Kami kerap membuat persembahan bersama. Bermula dari situ, saya melihat bakat yang dimilikinya dan mahu memperkenalkannya dalam industri seni.

Aku Tahu adalah hasil ciptaan Jonathan daripada syarikat rakaman Macam Macam Music yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 12:24pm
d