rap

Ketika melompat kaki tak lepas...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Riz Amin, 32, dinasihatkan berehat seminggu selepas cedera bahagian lutut kanan dan tangan kiri ketika menjalani penggambaran filem Polis Evo 2, semalam.

Riz berkata, kemalangan itu terjadi apabila dia bersama Shaheizy Sam dan tiga pelakon lain menjayakan babak kejar mengejar sehingga mengakibatkan kaki kanan tersangkut di tong sampah sewaktu ingin membuat lompatan.

“Saya berlari di belakang Sam dan lihat dia sudah lepas. Ketika saya hendak melompat, kaki kanan saya tak lepas.

“Memandangkan saya berlari laju, saya terus tersungkur dan terseret. Apabila bangun, saya mulai pening dan nampak tangan berdarah,” katanya kepada Harian Metro.

Riz diberi bantuan oleh paramedik kemudian dikejarkan ke hospital dengan ambulans.

“Saya ingatkan kaki tidak cedera sebab seluar tak koyak. Bagaimanapun apabila dibuka, lutut sebelah kanan bengkak.

“Disebabkan itu, saya terus dihantar ke unit kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” katanya.

Kata Riz, dia diberi suntikan, ubat tahan sakit dan kancing gigi sebelum menjalani imbasan x-ray.

“Terima kasih kepada Zizan Razak yang banyak membantu menyelesaikan urusan di hospital. Alhamdulillah saya tidak mengalami kecederaan serius cuma doktor menasihati saya berehat selama semiggu untuk memulihkan kecederaan.

“Saya perlu pulih sepenuhnya sebab watak dalam filem ini memang memerlukan saya melakonkan banyak babak aksi.

“Babak semalam tidak menbabitkan aksi berat cuma saya tidak bernasib baik. Benda nak jadi orang kata malang tak berbau. Memang tak boleh jangka,” katanya.

Sebelum ini pelakon utama filem itu, Zizan pitam di lokasi penggambaran akibat kepenatan.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 5:20pm
d