rap

Aizat 'jahat sangat'

Oleh Nor Akmar Samudin

Jika orang lain berasa bertuah baru berlakon sudah diberikan peranan hero, tetapi berbeza pula dengan Aizat Hassan, 24, yang gementar dan gemuruh setiap kali dia mahu ke lokasi penggambaran drama Melarik Awan.

Drama arahan Along Kamaludin itu pula dibarisi pelakon hebat seperti Dayana Roza, Shiqin Kamal dan Ammar Titan. Penampilan mereka dibantu dengan persembahan mantap daripada Anne Abdullah, Sheila Mambo dan Zulkifli Ismail. Melihatkan barisan nama itu saja sudah cukup membuatkan Aizat berasa seolah-olah dia mahu ke medan perang setiap kali berada di lokasi penggambaran drama terbabit.

“Mahu ditolak rezeki yang datang terasa sayang lalu saya telan segala getir yang terpaksa dilalui sepanjang penggambaran drama 20 episod itu. Tidak mudah kerana ketika itu saya baru bergelar pelakon. Walaupun sebelum ini saya pernah muncul dalam filem Aku Tak Bodoh, namun saya pegang watak kecil saja.

“Tanggungjawab sebagai pelakon utama sangat besar kerana setiap hari saya perlu berada di lokasi. Segala persiapan perlu dibuat dan boleh dikatakan setiap masa Along memarahi dan menegur lakonan saya sehinggakan setiap hari mahu ke lokasi seperti satu bebanan berat tergalas di belakang saya.

“Saya sentiasa tertanya-tanya apa lagi yang akan terjadi hari itu, tetapi saya faham Along marah kerana dia nak ‘mengajar’ saya menjadi pelakon yang bagus. Saya memang takut lakonan saya tidak menepati seperti apa yang Along mahukan.

“Saya mula berlakon pada 2010, tetapi watak ringan seperti pelajar sekolah dan kolej. Justeru dalam Melarik Awan, saya berasakan lakonan saya tidak setanding lakonan Shiqin, Dayana dan Ammar. Berada di depan lensa kamera, mereka seperti ada magis, tetapi saya masih terkial-kial. Apatah lagi Melarik Awan adalah drama berat yang begitu banyak bermain dengan emosi, mimik muka dan intonasi suara. Sebaik saja selesai penggambaran, saya lega kerana segala bebanan itu terlepas,” katanya.

Diberi peranan ‘budak’ nakal iaitu Rayyan dalam drama itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada Aizat kerana ada penonton yang membencinya.

“Tak sangka pula ada yang boleh cam wajah saya kerana selepas disolek dengan rambut disikat ke belakang, rupa saya nampak lain. Ketika saya berada di pusat beli-belah ada seorang mak cik pukul belakang saya kerana katanya dalam drama itu saya jahat sangat,” katanya.

Melarik Awan disiarkan di slot Azalea, TV3, tiga tahun lalu, namun sehingga kini memberi kesan besar kepada Aizat. Justeru, buat masa ini Aizat lebih rela memegang watak pelakon pembantu kerana dia belum bersedia untuk menjadi hero sekali lagi.

“Biar saya menimba lebih banyak pengalaman kerana berlakon bukan hanya minat semata-mata, namun ada pelbagai faktor lain yang akan turut mengiringi persembahan dan kejayaan seorang pelakon. Untuk menjadi hero juga perlu ada x-faktor yang membuatkan orang akan terpaku dengan lakonan kita.

“Pun begitu, saya bersyukur ada pihak yang yakin dengan bakat saya sehingga menjadi pelakon utama dan ia memberi pengalaman yang amat berguna kepada saya agar dapat menilai kemampuan diri. Ia bukan bermakna saya tidak percayakan diri sendiri, tetapi saya berasa peranan utama itu terlalu besar,” katanya.

Aizat pernah memasuki kelas teater untuk mengasah bakat lakonannya. Terkini, Aizat berlakon dalam drama Kisah Yang Hilang untuk slot Seramedi di TV3. Dalam drama itu, Aizat berlakon sebagai orang kampung bersama Epy Kodiang dan Wan Gegau. Mereka bertiga bersahabat baik yang kemudian bertembung dengan Fattah Aqil (Izzue Islam). Misteri bermula apabila Fattah mencari sebuah kampung yang sebenarnya tidak wujud.

Kisah Yang Hilang akan disiarkan awal tahun depan.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 11:29am
d