rap

Onew mohon maaf

Oleh Georgie Joseph

Annyeonghaseyo!!! Anggota SHINee iaitu Onew akhirnya membuat permohonan maaf selepas empat bulan insiden dia melakukan gangguan membabitkan seorang wanita di sebuah kelab di Seoul, Korea Selatan.

Meskipun kes berkenaan sudah selesai dan pertuduhan terhadapnya digugurkan, kontroversi itu masih jadi sebutan. Bahkan, cara Onew dan agensinya, SM Entertainment mengendalikan kes itu masih diragui.

Manakan tidak, mangsa berkenaan menuduh agensi terbabit yang memaksanya untuk menggugurkan pertuduhan itu. Gara-gara dakwaan itu mencetuskan keraguan pada Onew sama ada dia bersalah ataupun tidak.

Terbaru, penyanyi berkenaan memuat naik permohonan maafnya selepas sekian lama berdiam diri di media sosial. Dia menyesali apa yang berlaku dan berharap peminat memaafkannya.

“Saya mahu mohon maaf kepada peminat terutama yang menyokong dan terus menyayangi saya sekiranya berita buruk itu menghampakan semua. Apabila mengimbas semula sokongan dan kasih sayang itu, saya benar-benar berasa tidak layak menerimanya.

“Saya malu terhadap diri sendiri dan menyesal atas apa yang terjadi. Permohonan maaf ini agak lambat kerana saya buntu bagaimana harus menyampaikannya,” katanya.

Tidak malu untuk mengaku kesalahannya, dia juga sangat menyesal apabila tindakannya memberikan kesan kepada reputasi SHINee. Begitu juga kepada keluarganya, ternyata ia sangat mengejutkan ibu bapanya.

“Saya sepatutnya perlu lebih berhati-hati meskipun ketika masa untuk diri sendiri. Saya minta maaf dengan berita yang mengecewakan itu.

“Terutama buat rakan anggota lain yang bersama saya pada masa senang dan susah selama sembilan tahun. Begitu juga buat ibu bapa dan kakitangan di agensi yang semestinya sangat terkejut,” katanya.

Onew turut berjanji akan memperbaiki dirinya dan menjadi lebih baik pada masa depan.

“Bermula sekarang, sama ada urusan peribadi mahupun profesional, saya akan melakukan sebaik yang boleh demi menjaga nama baik SHINee,” katanya.

Permohonan maafnya itu masih tidak meyakinkan sesetengah netizen terutama peminat SHINee sendiri yang membuat permintaan mengejutkan. Mereka menggesa dia dibuang daripada kumpulan itu namun belum ada kenyataan rasmi dibuat SM Entertainment.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 11:34am
d