rap

Famili ahli muzik

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Impian untuk memiliki album sulung akhirnya menjadi kenyataan buat Qorina dengan terhasilnya album mini berjudul Tetap Di Hati, baru-baru ini.

Ia juga sebagai hadiah istimewa buat Qorina, 24, yang mula menyanyi sejak berusia empat tahun.

Bidang nyanyian bukan asing buat Qorina. Ini kerana sejak kecil dia dikelilingi keluarga yang aktif dalam bidang muzik.

Bapa saudaranya, Afzainizam Ismail dan Ikhtiman Ismail adalah komposer yang aktif mencipta lagu pada era 1980-an dan 1990-an. Penyanyi popular era sama seperti Khairool Idlan, Mastura Ismail (lagu Apo Kono Eh Jang) dan Nas Atea juga adalah ibu dan bapa saudaranya.

Malah, ibunya, Linda Ismail juga penyanyi era 1980-an manakala bapanya, Mohtar Said aktif sebagai penulis lirik.

Sebelum ini, gadis kelahiran Gombak, Selangor ini pernah beberapa kali mencuba nasib dalam beberapa program realiti, tetapi tidak berjaya.

Namun Qorina tidak pernah berputus asa terhadap minatnya yang begitu mendalam terhadap seni.

Hasil sokongan dengan tunjuk ajar daripada penerbit, Oja serta ahli keluarganya membuatkan dia lebih yakin.

Selepas hampir enam tahun menimba pengalaman termasuk aktif membuat persembahan di majlis makan malam di hotel di seluruh negara, Qorina akhirnya memiliki album sendiri.

“Kelahiran album Tetap Di Hati adalah positif untuk saya melangkah lebih jauh.

“Saya berterima kasih kepada penerbit, Oja kerana mempercayai bakat dan nampak minat saya dalam bidang nyanyian dan membimbing saya,” katanya.

Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album mini ini ialah Tetap Dihati, Pulanglah (MH370), Si Gila dan Kau Ku Nanti dan Andainya.

Lagu Andainya cukup istimewa kerana ia dicipta bapa saudaranya, Khairool Idlan dan lirik oleh bapanya, Mohtar.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 11:38am
d