rap

Ikutkan karakter Vicha tidak ada pun....

Oleh Ardini Sophia Sina

“TIDAK timbul isu nama Vicha digugurkan untuk babak di London kerana visanya tidak lulus,” kata Produser Madness Films Sdn Bhd, Shafirul Nizam Haron, tampil menjawab kenyataan pelakon Vicha

dikatakan menjadi mangsa penipuan.

Kata Shafirul, tidak mungkin dia sesuka hati menggugurkan namanya kerana banyak babaknya di London untuk drama terbarunya, Toyol Ke London.

“Ikutkan karakter dia tidak ada pun dalam drama ini tetapi sebab saya sudah lama mengenalinya, saya bertanya sama ada dia mahu berlakon drama ini dan menjalani penggambaran di London.

“Saya juga jelaskan bayarannya tidak besar cuma saya boleh tanggung kos perjalanan dan tempat tinggal di sana.

“Dia bersetuju dan saya tetap beli tiket untuknya lebih awal walaupun ketika itu dia masih menguruskan visanya. Saya agak terkejut apabila Vicha kata dirinya menjadi mangsa penipuan.

“Saya hanya dapat tahu selepas ditanya beberapa rakan dan terus menghubungi Vicha untuk menyelesaikan masalah ini dengan baik,” katanya.

Katanya, walaupun Vicha tidak menyebut nama syarikat produksi itu dia tahu individu dimaksudkan adalah dirinya.

“Saya terpanggil untuk menjelaskan situasi sebenar bagi membersihkan nama saya serta syarikat.

“Satu Malaysia tahu saya buat drama Toyol Ke London. Walaupun dia tidak sebut, ramai bertanya apa sebenarnya terjadi hingga penat saya mahu jelaskan perkara itu.

“Ada juga bertanya kenapa saya tidak saman. Saya boleh buat tapi tidak mahu lakukan. Saya tidak sampai hati kerana tahu dia cari makan di sini. Saya anggap ini dugaan dan ada hikmah di sebalik yang terjadi,” katanya.

Kata Shafirul, isu ini tidak menghalangnya untuk terus mengambil pelakon asal Indonesia itu berlakon dalam drama terbitan syarikatnya selepas ini. Baginya, perkara itu sudah selesai.

Vicha dalam kenyataannya kepada Harian Metro sebelum ini mendakwa namanya digugurkan untuk babak di London sedangkan dia sudah mengeluarkan duit RM2,700 untuk urusan permit kerja.

Vicha atau Revika Novianti Faturohman berkata, dia meminta produksi memaklumkan lebih awal kerana proses mendapatkan permit mengambil masa yang lama tetapi hanya diberitahu tiga minggu sebelum berangkat ke London.

Dia pulang ke Indonesia untuk mendapatkan permit ‘priority’ menerusi ejen tetapi selepas dua minggu di sana, Vicha diberitahu namanya digugurkan.

Berita berkaitan:

Demi penggambaran di London...

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 6:21pm
d