rap

Gosip cinta Agnez, Brown

Oleh Susunan Michelle Gun

Selepas bertahun melalui hubungan pasang surut dengan pelakon Karrueche Tran, penyanyi Chris Brown sudah melupakan cinta lama apabila kini hangat digosipkan dengan selebriti terkenal Indonesia, Agnez Monica.

Khabar angin itu timbul selepas Brown, 28, dan Agnez, 31, menghadiri majlis ulang tahun DJ Khaled berdua di Beverly Hills, Amerika Syarikat, Sabtu lalu.

Sumber memberitahu HollywoodLife.com dua penyanyi berkenaan tidak mengambil gambar bersama di karpet merah mahupun berjalan bersebelahan.

“Agnez didapati berjalan di belakang Brown, jadi tiada gambar mereka berdua.

“Ketika di parti, mereka juga mengelak daripada dilihat ramai dan banyak menghabiskan masa di ruang duduk gelap.

“Mereka seolah-olah leka berbincang mengenai sesuatu dan kelihatan seperti lebih daripada rakan biasa,” katanya.

Spekulasi mereka bercinta timbul selepas Brown yang juga bekas kekasih Rihanna memuat naik gambar dirinya memeluk erat pinggang Agnez di Instagram, 27 November lalu.

Pada masa sama, Agnez juga berkongsi beberapa gambar bersama Brown serta memperagakan pakaian jenama Black Pyramid milik penyanyi itu.

Dalam perkembangan lain, Brown memperkenalkan video pendek lagu baru, Vampire Vibe inspirasi daripada penyanyi legenda Michael Jackson di Instagram.

Pelantun lagu High End itu pernah bertemu Jackson ketika menghadiri sesi temu bual bersama Fuse, lima tahun lalu.

“Pertemuan itu paling manis sepanjang karier nyanyian saya kerana berpeluang membuat persembahan di hadapannya.

“Saya kemudian ke belakang pentas untuk bertemu Jackson. Dia seorang yang menghormati orang lain, malah turut bertanyakan khabar ibu saya,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 11:33am
d