rap

Kisah tragis Raja Oedipus

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Peminat filem Melayu era 1980-an tentunya kenal dengan pelakon Ahmad Yatim yang melonjak naik menerusi filem Abang pada 1981.

Kemantapan lakonan dalam filem ini melayakkan beliau memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-2 (FFM).

Malah, Ahmad Yatim terus meraih kegemilangan apabila merangkul gelaran Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-3 menerusi filem Pemburu (1982).

Mengambil keputusan meninggalkan lapangan seni lakon drama dan filem, beliau masih kekal bertugas sebagai pensyarah Fakulti Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Terbaru, di bawah jurusan Fakulti Teater ASWARA, Ahmad Yatim akan mengarahkan teater klasik berjudul Musuh Bertujuh serta menganjurkan bengkel teater boneka sepanjang bulan ini.

Program teater ini dikendalikan pensyarah serta dibantu pelajar Fakulti Teater sebagai keperluan dalam proses pembelajaran pelajar fakulti.

Musuh Bertujuh dipentaskan pada 8 hingga 10 Disember ini di Black Box ASWARA. Pementasan ini adalah olahan dan terjemahan beliau daripada karya asal Seven Against Thebes karya Aeschylus dan Antigone karya Sophocles.

Beliau mengadaptasikan naskhah ini ke pentas bersesuaian dengan objektif dalam memperkenalkan karya klasik Inggeris kepada khalayak.

Produksi teater klasik ini menampilkan pensyarah dan pelajar ijazah sarjana muda tahun dua sebagai penilaian akhir bagi kursus subjek wajib fakulti.

Musuh Bertujuh turut menampilkan pelajar Ijazah Teater Tahun 2, Ayie Ilham iaitu penyanyi utama kumpulan Floor 88 yang popular dengan lagu Zalikha dan pelajar Diploma Tahun Akhir, Zera Hariz yang mula dikenali menerusi drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, beliau menegaskan olahan teks agung Greek ini dilakukan dengan beberapa pengubahasuaian atas maksud menjaga sensitiviti Islam dan kesesuaiannya dengan budaya tempatan.

“Musuh Bertujuh adalah terjemahan yang dikira bertepatan dengan judul Seven Against Thebes. Oleh kerana implikasi dan bu­nyinya yang gah, ia diguna pakai untuk produksi ini.

“Naskhah ini dipilih berdasarkan fokus produksi iaitu untuk menceritakan tragis dan nasib malang keturunan Raja Oedipus, Raja Thebes: Eteocles dan Polyneices, putera-putera baginda yang saling bunuh-membunuh dalam satu peperangan merebut hak memerintah dan Antigone, puteri baginda yang selepas dihukum kerana menentang perintah raja akhirnya menggantung diri.

“Sungguhpun nasib malang yang menimpa Ismene tak disebut atau ditunjukkan dalam produksi ini, dia kemudian mati dibunuh. Kedua-dua Seven Against Thebes dan Antigone mempunyai ramai watak besar, lelaki dan wanita serta mencabar,” katanya.

Menurutnya, pelajar mempunyai peluang besar untuk menunjuk dan membuktikan kemampuan diri sebagai pelakon serta keberkesanan pembelajaran mereka dalam bidang lakonan.

“Tema Musuh Bertujuh yang relevan iaitu kemelut sosial, patuh kepada pemerintah serta ikatan kekeluargaan. Objektif kursus ini untuk memberi pengalaman serta menilai kemampuan pelajar dalam lakonan dan pengucapan gaya klasik - gaya deklamasi Yunani atau Greek Kuno, gaya Shakespeare, neo-klasik Eropah serta bahasa gurindam/ verses.

“Adalah dikatakan bahawa pembelajaran dalam bidang lakonan tak akan sempurna sehingga bakal pelakon melakonkan watak klasik. Selain itu, pelajar juga dapat meninjau serta memahami budaya dan gaya hidup bangsa/masyarakat lain dalam zaman tertentu. Musuh Bertujuh berlatar belakang Greek Kuno/ Yunan 250 tahun sebelum Masihi,” katanya.

Barisan pelakon terbabit dalam teater ini ialah Muhamad Aizzat Fiqrie Ahmad Shapingi, Mohd Fadhli Masoot, Nur Fardiana Muhammad, Nur Raihana Nadhrah Rizal, Fatin Wafiy Daud, Norhazuwana Mohd Kambri, Mohd Shahrul Mizad Ashari, Fatin Farhana Che Rani, Nor Naziera Alia Raduan, Redzuan Mohd Fauzi, Abi Madyan Mohd Fakir, Ahmad Ihtisyammul Haqq Ishak, Muhamad Syafiq Aiman Hamzah, Muhamad Aizzat Fiqrie Ahmad Shapingi, Mohd Syrul Ezwan Zamari dan Mohd Azrul Amri Abdul Rahman.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 11:39am
d