rap

Jari bengkak main gitar

Oleh Georgie Joseph

Demi mendalami kehidupan penyanyi jalanan, pelakon Hafeez Mikail sanggup melakukan apa saja supaya benar-benar dapat menyerap jiwa watak itu dalam filem terbarunya berjudul Busker.

Hafeez, 25, juga gigih belajar bermain gitar walaupun langsung tidak pernah memainkan alat muzik itu.

Dalam filem arahan Syed Khairul Fariz itu, dia juga perlu menyanyi sepanjang masa.

Apa yang pasti, ia bukan mudah kerana dia perlu bermula daripada kosong. Dia juga baru mengenal kord dan gigih untuk menguasainya.

“Saya tidak mahu mengambil mudah watak itu walaupun ia nampak biasa. Saya harus menyelami bagaimana kehidupan sebenar seorang pemuzik jalanan.

“Disebabkan watak itu, saya menukar bilik saya menjadi bilik sebenar pemuzik. Selain itu, saya mula belajar bermain gitar yang ternyata bukan mudah.

“Jari saya hingga bengkak dan berdarah kerana berlatih terlalu kerap. Namun, saya kuatkan diri kerana mahu mahir bermain gitar,” katanya.

Bukan itu saja, Hafeez turut melakukan tindakan berani apabila tampil mengadakan ‘busking’ di tempat awam seorang diri.

Menurutnya, dia mendapat pelbagai reaksi disebabkan tindakannya itu.

“Saya mahu merasai bagaimana rasanya membuat persembahan di khalayak ramai. Memang menyeronokkan, apatah lagi ada yang terhibur dan memberi perhatian.

“Tidak dinafikan, ada juga yang perasan saya pelakon dan bertanya macam-macam soalan. Mereka ingatkan saya sudah tiada tawaran seni dan terdesak mencari duit,” katanya.

Melakonkan watak sebagai Adil, Hafeez juga dapat merealisasikan minatnya dalam bidang nyanyian apabila dia diberikan banyak lagu dalam filem berkenaan.

Dia mengakui sangat bersyukur apabila dapat bekerjasama dengan MonoloQue yang menjadi pengarah muzik dalam filem terbabit.

“Seperkara yang saya sangat berterima kasih adalah ilmu muzik diberikan MonoloQue. Saya suka menyanyi sebelum ini, tapi ilmu dalam muzik sangat cetek.

“Apabila dapat bekerja dengannya, banyak perkara mengenai muzik saya pelajari. Bukan setakat menyanyi, tetapi mengenali kod, hala tuju muzik dan cara persembahan daripadanya.

“Selain itu, lagu dalam filem itu tidak dinafikan sangat berkualiti. Saya sangat seronok dapat menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Terlanjur sudah pandai menyanyi dan bermain gitar, Hafeez bagaimanapun belum ke arah mahu serius menjadi penyanyi serta menghasilkan single sendiri.

Menurutnya, dia lebih suka fokus terhadap satu bidang dulu dan benar-benar menguasainya sebelum mencuba bidang lain.

“Buat masa ini, saya belum terfikir untuk hasilkan single sendiri. Kalau mahu menyanyi pun nyanyi lagu-lagu dalam filem itu sajalah.

“Bagaimanapun, MonoloQue ada projek khas untuk band kami dalam filem terbabit. Yang itu saya akan terbabit juga dan teruja untuk menjayakannya,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 11:41am
d