rap

Asyraff berjaya yakinkan Sasqia

Oleh Sudirman Mohd Tahir

EMPAT bulan berkenalan, pelakon Sasqia Dahuri, 32, bakal bertunang dengan Asyraff Khan, 27, 21 Januari tahun depan.

Pasangan ini juga merancang untuk bernikah pada 14 Disember 2018 diikuti majlis persandingan sehari selepas itu disusuli majlis sebelah lelaki pada 29 Disember.

Sasqia berkata, dia dan Asyraff yang juga ejen hartanah di Singapura mula berkenalan 26 Ogos lalu ketika menjayakan sesi ramah mesra bersama peminat di sana.

“Sebelum ini saya tidak pernah bercerita kisah peribadi. Apabila segala perancangan sudah ditetapkan, tidak salah untuk saya berkongsi khabar gembira ini kepada peminat.

“Dalam pertemuan pertama itu, saya juga sempat berkenalan dengan keluarganya.

“Sejak itu kami berkawan dan saling mengenali hati budi. Alhamdulillah dia menghantar rombongan merisik 2 Disember lalu dan buat pertama kalinya keluarga kedua belah pihak berjumpa,” katanya kepada Harian Metro.

Sasqia yang popular menerusi drama Lara Aishah tidak berasakan perkenalan singkat antara mereka menjadi masalah untuk berkahwin.

Katanya, dia menyifatkan pertemuan dengan bakal suami sebagai jodoh dan ketentuan Allah SWT.

“Saya tak berasakan tempoh perkenalan singkat atau lama menjadi faktor utama untuk seseorang berkahwin.

“Malah kahwin lambat atau cepat sekali pun bukan satu isu yang perlu diperbesarkan.

“Bagi saya, jika berjumpa dengan orang yang sesuai dan sedia untuk hidup bersama, tidak perlu tunggu lama.

“Macam saya pun, mungkin dia jodoh yang ditakdirkan untuk saya. Alhamdulillah saya gembira bersamanya begitu juga dia,” katanya.

Sasqia akui sebelum ini mengambil masa untuk menerima mana-mana lelaki kerana belum berjumpa dengan yang tepat.

“Saya mahu lelaki yang boleh menerima diri ini seadanya,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 7:20pm
d