rap

Dua prinsip Azrel

Oleh Norhayati Nordin

Azrel Ismail yakin dengan prinsipnya iaitu tanpa gosip, dia dapat juga memperkembangkan kerjaya lakonannya.

Bakat Azrel, 33, yang mula berlakon pada 2009 menjadi perhatian sejak tiga tahun lalu. Dalam kerjaya lakonannya, dia menitikberatkan dua perkara.

“Pertama, saya amat mementingkan kualiti kerja dan kedua, sudah tentu menjaga disiplin.

“Alhamdulillah, nampaknya hingga kini perjalanan kerjaya saya lancar dan tawaran berlakon pun tidak putus-putus,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama La Luna di Bosnia-Herzegovina bersama Zahirah MacWilson.

Mesra berbicara ketika ditemui selepas selesai sesi fotografi bersama Selebriti Metro Ahad baru-baru ini, Azrel berkata, peluang buat seseorang pelakon mendapat tawaran pasti ada jika tidak ada masalah sikap.

“Saya bersyukur setakat ini nama masih lagi bersih dengan pihak produksi dan semua stesen televisyen tanah air. Malah, jadual lakonan saya pun sudah diisi sehingga Mac tahun depan untuk beberapa projek drama,” katanya.

Anak jati Taiping, Perak ini berkata, dia juga tidak menduga graf perkembangan kerjaya lakonannya bergerak rancak.

“Jika diukur dengan gosip, memang saya kurang kena tempias walaupun sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan Ruhainies.

“Bagi saya, gosip memang ada kalanya membantu publisiti untuk seseorang selebriti tetapi jika tidak ada pun tak apa. Namun, yang paling utama sebenarnya bagaimana cara kita mengetengahkan bakat lakonan itu,” katanya.

Menurut Azrel, perkara pertama dilakukannya selepas bersetuju menerima tawaran berlakon ialah mengkaji skrip.

“Biasanya saya akan mempersiapkan diri dengan mengkaji keseluruhan skrip untuk tahu jalan ceritanya lebih dulu. Penting untuk saya fahamkan tuntutan watak sendiri serta watak lain sebelum memasuki set penggambaran,” katanya.

Ditanya mengenai kepuasan yang dikecapi sebagai pelakon, Azrel berkata, setakat ini dia yakin sudah berjaya meletak asas yang stabil dalam kerjaya lakonannya.

“Pada aspek peminat, saya sudah ada kelab peminat sendiri, cuma untuk pencapaian seperti memenangi anugerah, saya perlu pertingkatkan lagi usaha. Tidak mudah meraih sesuatu pengiktirafan dan sebagai pelakon saya memang impikan untuk menang anugerah.

“Setakat ini, nama saya tersenarai dalam kelompok lima calon finalis untuk anugerah tetapi belum ada rezeki untuk menang. Jadi, saya perlu pertingkatkan usaha untuk menampilkan lakonan lebih baik, mantap dan berkesan.

“Begitu juga memperkuatkan jentera kelab peminat,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 3:01am
d