rap

Syura gagal ke pentas akhir GV4

Oleh Georgie Joseph

SYURA gagal ke pentas akhir Gegar Vaganza Musim Keempat (GV4) apabila tersingkir malam tadi, selepas mendapat markah terendah.

Enam peserta yang layak ke akhir ialah Aishah, Liza Hanim, Hazami, Lan, Firman, dan Tia Jinbara yang akan diadakan di Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor.

Pada peringkat separuh akhir, ketujuh-tujuh peserta diadili juri tetap Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang serta juri jemputan Datuk Tarmimi Siregar dan Datuk Wah Idris.

Walaupun menampilkan persembahan bertenaga menerusi lagu Dokter Cinta (Dewi Dewi) dan Cinta Antara Benua (Arni Nazira), Syura tidak berjaya meyakinkan juri untuk memberikan markah tinggi.

Pada saingan itu, Liza Hanim menyanyikan lagu Kesal (Ella) dan Jagalah Diri (Jaclyn Victor), Aishah (River Deep Mountain High - Tina Turner dan Keranamu Kekasih (Illa Sabry), dan Hazami (Getaran - Famieza dan Hello - Lionel Richie).

Lan pula menyanyikan Kalis Rindu (Elyana) dan Ukiran Jiwa (Awie), Firman (I Feel Good - James Brown dan Menanti Sebuah Jawapan - Padi), dan Tia Jinbara (Hukum Karma - Wings dan Isabella - Search).

GV4 separuh akhir bertemakan Goyang Kaki dan Runut Bunyi (OST), dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse, sementara Datuk Seri Shah Rezza, Ebby Saiful, dan Isma Aliff tampil sebagai artis jemputan.

Juara Gegar Vaganza musim keempat bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala naib juara menerima RM50,000.

Tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 1:22am
d