rap

Kehidupan sukar suri rumah

Oleh Michelle Gun

Slot Widuri yang menjanjikan tayangan drama bersiri kekeluargaan terbaik di RTM mula mendapat tempat di hati penonton setia saluran itu.

Tambahan pula, slot itu berkongsi kisah paparan realiti dalam masyarakat yang boleh dijadikan iktibar.

Drama bersiri 26 episod berjudul Aku Di Sisimu memaparkan kehidupan sukar suri rumah bernama Laila selepas suaminya koma akibat kemalangan jalan raya.

Siri itu akan menemui penonton setiap Jumaat hingga Ahad bermula 17 Disember ini, jam 7 malam di TV1.

Ia menampilkan Fouziah Gous, Natasha Elyzza, Haeryanto Hassan, Azhan Rani, Fariz Isqandar, Wan Rania dan Hilal Azman.

Dalam cerita itu, anak Laila, Sarah menyalahkan dia sebagai punca bapanya, Nasa terbabit dalam kemalangan.

Jururawat Mira yang bertugas di hospital Nasa dirawat berjaya memujuk Sarah untuk berbaik semula dengan Laila.

Pada masa sama, Mira baru saja ditawarkan pemberhentian kerja dan dia menggunakan wang pampasan menjalani rawatan tabung uji untuk mengandung namun ditegah suaminya.

Laila pula dapat kerja baru tetapi terpaksa berhenti kerana tidak mampu memberi komitmen antara kerja, anak dan suami.

Simpati dengan Laila, bapanya mengambil keputusan menyerahkan geran tanah kepadanya untuk dijual bagi menampung kos rawatan Nasa yang tinggi.

Di hospital sama, Shukor yang menghidap kencing manis enggan pulang ke rumah kerana mengetahui dua anaknya, Sajiah dan Suria sudah tidak mahu menjaganya.

Shukor menyarankan Mira untuk membuka pusat jagaan pesakit kerana dia ingin jururawat itu terus merawatnya.

Bagaimanapun, Mira tidak mempunyai modal kerana pusat jagaan pesakit memerlukan kos besar.

Dia kemudian menceritakan hal itu kepada Laila yang bersetuju menjadi rakan kongsi.

Yakin dengan keputusan itu, Laila menghantar surat peletakan jawatan selepas mendapat sokongan daripada bapanya.

Dua sahabat itu mula membuat perancangan dan mereka meninjau harga kelengkapan serta mencari rumah sewa sebagai tempat pusat berkenaan.

Pada mulanya, pesakit mereka hanya tiga orang termasuk Nasa dan Shukor namun sahabat terbabit berdepan cabaran apabila masalah besar timbul.

Seorang lagi pesakit pusat jagaan itu bernama Zali lumpuh selepas bermain ragbi.

Zali tidak mahu makan kerana sudah berputus asa menyebabkan badannya menjadi sangat lemah.

Penonton yang tidak sempat menyaksikan Aku Di Sisimu di TV1 boleh menonton siri berkenaan di portal online Myklik di myklik.rtm.gov.my.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 5:11am
d