rap

Tiket paling mahal habis dulu

Oleh Rudy Imran Shamsudin

TIKET menyaksikan konsert sulung penyanyi Dayang Nurfaizah di Singapura pada 1 Januari depan, habis dijual semalam.

Berita gembira itu dikongsi Dayang di laman Instagram miliknya dan mengucapkan syukur atas sokongan peminat.

Katanya, apabila penganjur mengumumkan tiket konsert sulungnya di Dewan Esplanade habis dijual, ia bagaikan membakar semangatnya untuk memberikan yang terbaik pada malam itu.

“Alhamdullilah dan terima kasih kepada semua peminat tidak kira di Singapura dan di tanah air yang sudah membeli tiket. Ia membuatkan saya berasa teruja untuk menghiburkan mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Dayang yang menang Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL) tiga tahun berturut-turut lebih tersentuh hati apabila tiket paling mahal iaitu RM257 habis dijual lebih dulu. Begitu juga tiket RM196, RM139 dan RM75.

“Mereka yang memiliki tiket paling mahal berpeluang bertemu dan bermesra dengan saya sebaik saja konsert tamat,” katanya.

Mengenai persediaan membabitkan konsert yang berbaki tiga minggu lagi, kata Dayang setakat ini dia mengadakan latihan bersama pengarah muzik, Jenny Chin.

“Latihan bersama pemuzik hanya akan bermula pada 22 Disember tetapi tidak semuanya. Latihan penuh bermula 27 Disember,” katanya.

Dalam konsert sempena tahun baru itu, Dayang bakal mendendangkan lagu-lagu popular yang pernah menjuarai carta tempatan dan luar negara seperti Di Pintu Syurga, Lelaki Teragung dan Seandainya Masih Ada Cinta.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 4:57pm
d