rap

Bapa carikan jodoh Daqmie

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

DALAM usia 46 tahun, penyanyi nasyid Daqmie tidak menyangka bakal disatukan dengan gadis pilihan keluarga, Syarifah Durrah Uzma Syed Jaafar Muhiddin, 25, pada 15 Disember ini.

Majlis pernikahan bakal berlangsung di sebuah masjid di kampung keluarga bakal isteri di Kulim, Kedah.

Daqmie atau Azmee Abdul Manap berkata, perkahwinana dengan Syarifah Durrah yang juga kakitangan bank, diaturkan bapanya.

“Mungkin ramai bertanya status saya kerana jarang bercerita kisah peribadi kepada masyarakat.

“Saya bujang, belum pernah berkahwin dan ini perkahwinan pertama saya. Itupun kerana permintaan bapa yang berusaha mencarikan jodoh.

“Katanya, sudah sampai masa untuk saya berkahwin. Sebagai anak, saya hanya menurut kehendak bapa,” katanya kepada Harian Metro.

Daqmie yang popular dengan lagu Tangisan Sebatang Tamar mengakui sebelum ini pernah berusaha mencari jodoh sendiri, tetapi akur masanya belum tiba.

“Ini ketentuan Allah SWT dan saya reda lambat bertemu jodoh. Bukan saya tidak pernah bercinta tetapi apabila bapa kurang berkenan dengan wanita yang dipilih, saya buat keputusan putuskan hubungan.

“Saya pernah serius berkawan dengan dua wanita tetapi apabila dibawa berjumpa ayah, kami diminta berkawan terlebih dahulu.

“Bapa tidak menghalang tetapi daripada situ saya dapat memahami maksudnya. Selepas putus cinta, hidup saya banyak dihabiskan di studio mencipta lagu,” katanya.

Daqmie yang kini menjadi tutor Vokal di Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar, Perak merancang untuk menetap di Taiping selepas berkahwin kerana bakal isterinya bekerja di sana.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 7:46pm
d