rap

Eh...Fattah tiba-tiba hilang

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON, Fahrin Ahmad terpinga-pinga di pentas program MeleTop apabila Fattah Amin yang sepatutnya berada bersamanya mempromosikan drama My Coffee Prince, semalam, tidak muncul.

Fahrin, 38, berkata, dia dan Fattah sudah bersedia di belakang pentas selepas mendengar penerangan ringkas daripada produksi.

"Sebelumnya saya dan Fattah muncul pada program HLive! Malah dari siang lagi pihak MeleTop sudah mempromosikan yang kami muncul dalam program ini.

"Seperti yang semua maklum berdasarkan gambar yang dimuat naik, kami sudah bersedia di studio dan lengkap dengan mikrofon. Kami ditugaskan untuk muncul pada segmen pembukaan.

"Namun, apabila saya berada atas pentas, saya perasan Fattah sudah tidak ada. Saya jadi terpinga-pinga ditambah pula keadaan jadi kelam-kabut kerana terdapat perubahan pada saat akhir," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fahrin, apa yang berlaku membuatnya terfikir sama ada wujud masalah komunikasi atau ada pihak yang kurang jelas dengan arahan diberikan.

"Saya jenis malas nak ambil tahu atau campur tangan. Apa yang berlaku adalah masalah peribadi mereka dan saya tak perlu tahu pun.

"Selepas selesai segmen My Coffee Prince, saya juga tidak bertanya lanjut kepada Nabil atau Neelofa atas apa yang berlaku," katanya.

Terdahulu, kecoh apabila pelakon utama drama My Coffee Prince, Fattah dikatakan enggan muncul dalam program MeleTop yang dihoskan bekas kekasihnya, Neelofa dan pengacara Nabil Ahmad.

Pihak produksi yang membuat pengumuman awal akan kemunculan Fattah dalam rancangan itu memohon maaf ketika rancangan berkenaan sedang bersiaran dengan alasan Fattah tidak dapat hadir.

"Kami ingin memohon maaf. Fattah Amin tidak dapat hadir malam ni, disebabkan urusan di luar jangkaan yang tak dapat dielakkan. Tapi jangan risau, nanti kami jemput Fattah Amin dan isteri datang sini lagi," kata kenyataan itu menerusi Instagram rasmi program berkenaan.

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 11:46am
d