rap

Foster mahu ke Antartika

Oleh Michelle Gun

PRODUSER dan pemuzik terkenal, David Foster mendedahkan sudah tidak lagi menerbitkan lagu untuk artis kerana mahu memberi tumpuan terhadap perkara lain.

"Pada pendapat saya, seorang juara tahu bila untuk berhenti. Saya ada banyak perkara yang mahu lakukan seperti melancong, mencari bakat penyanyi baru dan buat konsert.

"Selalunya, saya terbang ke sana sini adalah untuk bekerja. Kalau boleh mahu melawat Antartika kerana di situ tiada muzik," katanya kepada portal Harian Metro, hari ini.

Biarpun begitu, Foster, 68, meletakkan pengecualian istimewa kepada Michael Buble kerana mahu meneruskan kerjasama dengan penyanyi terkenal itu.

"Sudah setahun saya tidak masuk studio rakaman. Tetapi untuk Michael, saya tidak kisah membantu menerbitkan album barunya.

"Ini kerana saya suka Michael dan vokal dia mantap," katanya yang belum bersedia untuk berundur daripada bidang seni.

Foster berada di Singapura untuk bertemu dengan empat penyanyi finalis kempen AirAsia Dreams Come True iaitu kumpulan IV of Spades (Filipina), Kuizz (Malaysia), Miss Lou (Singapura) dan Abirama (Indonesia).

Peserta berjaya memperoleh jumlah penstriman tertinggi di Spotify berpeluang membuat persembahan bersama Foster di konsert tahun depan.

Selain kempen AirAsia Dreams Come True, Foster juga juri Asia's Got Talent musim kedua yang turut berlangsung di Singapura.

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 8:53pm
d