rap

Strategi topeng buah hasil

Oleh HM Digital

Kelab Teater Rimba (KTR) yang diasaskan Mohd Diani Kasian atau lebih mesra disapa Bung Kancil bakal menyambut ulang tahun penubuhan ke-25 pada tahun depan.

Menjadi kelab teater tertua di institusi pengajian tinggi, KTR aktif memartabatkan seni teater tanah air. Bahkan, selain rancak mengadakan persembahan dan menyertai festival teater dalam dan luar negara, mereka turut melaksanakan tanggungjawab memasyarakatkan seni teater di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan menganjurkan Festival Teater UKM 2017 (FESTER 2K17) buat kali ketiga.

Festival dianjurkan dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UKM ini berlangsung dari 3 hingga 10 Disember lalu membabitkan penyertaan 11 kolej kediaman bagi merebut beberapa anugerah yang dipertandingkan.

Pengarah FESTER 2K17, Eman Bahareen Abdullah berkata, juri untuk pertandingan itu terdiri daripada pegawai Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN), Shahrizal Abdan selaku ketua juri, Azhar Jalil (graduan seni persembahan USM) dan pelakon wanita terbaik FTM 2014, Yuhana Mohd Yusof yang juga Alumni KTR.

Festival bertemakan ‘Menyemarak Seni Teater Varsiti’ ini menobatkan kumpulan The Pendeta’s Thespian dari Kolej Pendeta Za’ba sebagai juara menerusi naskhah Topeng karya Moh Azam Rezali. Pengarahnya, Azerai Azmi juga meraih gelaran Pengarah Terbaik.

Malah, Kolej Pendeta Za’ba memonopoli festival kali ini apabila Nur Alia Syakira dan Najiha masing-masing diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik serta Anugerah Publisiti Terbaik.

Mereka turut tercalon untuk dua anugerah utama lain iaitu Pelakon Lelaki Terbaik (Azizul Exmal) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Rabiatul Adawiyah).

Azerai berkata, dia bersyukur dengan kejayaan ini kerana mereka tidak pernah memenangi anugerah utama pada tahun lalu.

“Kekalahan lalu membuatkan saya berhati-hati dalam memilih naskhah selain mengkaji semula kelemahan yang ada bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.

“Syukur strategi ini membuahkan hasil,” katanya.

Dato Onn Theatre dari Kolej Dato Onn dengan naskhah Insomnia Jiwa Manusia pula dinobatkan sebagai naib johan dan turut membawa pulang anugerah Sinografi Terbaik.

Manakala, bekas juara FESTER 2016, Prasada Kolej Tun Hussein Onn berpuas hati dengan kedudukan ketiga menerusi teater Chermin. Bagaimanapun, mereka masih mengungguli festival dengan kemenangan dua pelakonnya iaitu Abu Dzar dan Eika Redza bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita.

Taufik Roslan dari kumpulan Monalitat, kolej Tun Syed Nasir pula diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik melalui lakonan cemerlangnya dalam teater Diaspora Bangsat.

Kumpulan ini turut membawa pulang Anugerah Khas Juri yang turut dimenangi Seni Teater Aminuddin, Kolej Aminuddin Baki dengan teater Cinta Terhalang.

Kelab TEKAD Kolej Burhanuddin Helmi pula membawa pulang Anugerah Skrip Harapan bagi karya Racun dan anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik (Muhammad Saeid).

Hadiah disampaikan Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Disiarkan pada: December 15, 2017 @ 12:54am
d