rap

Jangan berkira sangat!

Oleh Norhayati Nordin

Dalam apa saja bidang kerja, urusan promosi dan publisiti sangat penting. Pun begitu, baru-baru ini timbul isu berkaitan keengganan artis membantu promosi dan publisiti kala produk seni itu disiarkan di TV.

Apakah pendekatan wajar patut diambil untuk memastikan isu itu tidak berbangkit dan menemui jalan penyelesaian yang berhemah?

Aziz M Osman, Penerbit dan pengarah

“Bagi saya perkara ini membabitkan diplomasi dan komunikasi yang baik antara kedua-dua pihak. Sama ada penerbit atau pelakon, mereka perlu berbincang dan bertoleransi.

Sikap tanggungjawab pada produk dihasilkan sangat penting tidak kira sama ada ia filem, drama, lagu atau program TV. Saya tidak nafikan selebriti turut memainkan peranan bagi membantu promosi walaupun tiada dalam kontrak. Apatah lagi, medium media sosial kini sangat aktif menjadi platform masyarakat mendapatkan pelbagai maklumat”.

Osman Ali, Pengarah filem

“Setakat ini, terus terang urusan promosi dan publisiti untuk filem tiada masalah kerana sudah termaktub dalam kontrak perjanjian ditandatangani. Cuma, untuk drama saya tahu ada produksi yang menetapkan dalam kontrak dan ada juga yang tidak melakukannya.

Bagi produksi yang tidak menulis dalam kontrak, pada saya penerbit mungkin mengharapkan konsep budi bicara. Bagaimanapun, yang pasti bergantung pada selebriti itu sendiri sama ada mahu melakukannya atau tidak. Bagi saya, dalam soal kerjaya jangan terlalu berkira. Sikap saling membantu penting kerana ia melihat pada hubungan kerjasama untuk jangka masa panjang”.

Johan Asa’ri, Pelakon

“Saya tiada masalah untuk beri kerjasama membantu promosi drama dibintangi asalkan penerbit memberi penjelasan awal.

“Ini kerana selalunya untuk drama penerbit tidak meletakkan syarat promosi atau publisiti oleh pelakon dalam kontrak, tetapi ada baiknya saling mengingati.

“Pelakon juga manusia biasa. Jadi, dalam konteks ini komunikasi dua hala yang berkesan sangat penting walaupun tidak ada dalam kontrak.

“Cuma, bagi saya sebaik-baiknya penerbit meletakkan syarat promosi dalam kontrak termasuk penjelasan awal bentuk promosi diperlukan.

“Ia penting supaya pelakon tahu dan tidak terlepas pandang tanggungjawab mereka berterusan bukan hanya di set penggambaran, tetapi hingga publisiti,” katanya.

Datuk Rafiena Ezanee Ramli, Penerbit drama

“Untuk produksi saya, Darkwave Pictures Sdn Bhd sudah termaktub dalam kontrak pelakon kena bantu mempromosikan drama lakonan mereka. Cuma, terus terang saya katakan ada segelintir pelakon tidak membaca kontrak dengan jelas dan terus tandatangan selepas melihat jumlah bayaran diterima.

Namun, sebagai penerbit bagi saya semua pihak mesti memberikan kerjasama dengan baik. Tidak perlu kena meminta atau bergantung pada budi bicara semata-mata. Jika projek drama itu berjaya pun, ia kejayaan semua pihak kerana kita bekerja berpasukan. Saling memerlukan.

Saya ingatkan pada segelintir pelakon, jangan mudah hanyut dengan populariti dikecapi mereka. Tidak selamanya kita akan berada di atas kerana industri seni umpama roda. Belajar menghargai apa yang dimiliki dengan baik untuk bertahan lama. Melihatkan perkembangan industri kini, kemunculan bakat baru bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan”.

Dayana Roza, Pelakon/pengacara

“Saya okey saja untuk membantu urusan promosi dan publisiti hasil kerja seni sendiri termasuk selebriti lain. Pada saya, tiada salahnya untuk tolong-menolong dan jangan terlalu berkira. Lagi pun, tidak susah mana pun untuk melakukannya.

Sekarang, semuanya umpama di hujung jari dengan adanya kemudahan media sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook. Tak ambil masa lama pun untuk seseorang selebriti mengemaskini akaun media sosial mereka dan itu yang saya sering lakukan.

Soal kontrak untuk publisiti saya tidak terlalu berkira kerana sedar tanggungjawab saya untuk berkongsi maklumat produk seni dihasilkan kepada masyarakat’.

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 9:34am
d