rap

Boleh pergi lebih jauh

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Menjayakan drama bersiri yang membariskan bintang popular mungkin bakal memberikan tempias kepada tiga pelakon baru ini untuk menempatkan diri dalam industri seni sekali gus mengembangkan bakat dimiliki.

Andainya nasib menyebelahi Mohamad Faez Azemi, Abdullah Syafiq Ahmad dan Sean Lee Jia Ern yang memegang watak barista menerusi drama Coffee Prince, mereka mampu mencuri tumpuan dan mencipta nama.

Ibaratnya ‘tumpang glamor’ pelakon utama, memandangkan Coffee Prince kini ditayangkan di slot Mega Drama, Astro Ria menampilkan aktres hebat dan punya ramai peminat seperti Janna Nick dan Diana Danielle.

Turut sama membintangi karya yang diadaptasi daripada drama bersiri Korea itu pelakon berpengalaman seperti Elly Suriaty, Jasmin Hamid, Sharifah Shahira, Fahrin Ahmad dan Zain Ahmad.

Sewaktu ditemui pada sesi fotografi, ketiga-tiga pelakon muda ini mengakui meletakkan harapan tinggi agar drama Coffee Prince mampu menjadi pembuka jalan untuk melangkah lebih jauh dalam dunia lakonan.

Begitupun Faez, Syafiq dan Sean sedar laluan tidak mudah kerana pada waktu sama ramai pelakon baru dan muda muncul.

Faez berkata, dia menerima lamaran daripada penerbit dan pengarah, Michael Ang untuk menimba pengalaman.

Sepanjang penggambaran, banyak perkara dipelajari anak muda ini terutama apabila bergandingan dengan bintang berpengalaman.

“Sebelum ini saya ada berlakon tetapi hanya watak tambahan dalam drama bersiri Abang Bomba I love You dan sesekali muncul dalam beberapa program TV. Saya tidak pernah berlakon secara serius hinggalah terpilih menjayakan Coffee Prince,” katanya.

Jelas Faez yang memegang watak Riduan, sebagai orang baru dalam industri dia sangat teruja apabila berpeluang menjalani latihan di bawah bimbingan Elly Suriaty sebelum penggambaran bermula.

“Siapa tidak kenal kak Elly. Dia pelakon yang hebat dan saya bertuah dapat berguru dengannya.

“Di set pula pelakon senior terutama Jasmin Hamid dan Zain banyak memberikan tunjuk ajar. Keterbukaan mereka membuatkan kami berasa senang bekerja dan kemesraan antara kami wujud dengan cepat serta tidak berasa kekok,” katanya.

Adat orang baru pasti ada melakukan kesilapan pada minggu awal penggambaran. Apatah lagi pengarah Coffee Prince, Michael Ang menitik beratkan kesempurnaan.

Melakukan kesilapan bermakna banyak teguran diterima daripada Michael. Bagaimana mereka berdepan dengan situasi itu.

Menjelaskan perkara terbabit, Faez sentiasa terbuka malah ketegasan Michael membantunya menjiwai watak.

Ditanya mengenai apa bakal dilakukan selepas Coffee Prince, anak jati Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu berkata, dia mahu melihat maklum balas penonton dan orang industri.

“Sebenarnya, saya masih bekerja dalam bidang minyak dan gas. Andai reaksi penonton terhadap lakonan saya positif dan ada tawaran berterusan, baru saya membuat pilihan sama ada mahu jadikan lakonan kerjaya sepenuh masa atau sebaliknya,” katanya.

Sean yang memegang watak Jia Wu dalam Coffee Prince bukan orang baru dalam dunia lakonan kerana sebelum ini sudah membintangi beberapa drama dan memegang watak utama antaranya telefilem Kucing Parsi serta Keluarga Ponti Mau.

“Sudah dua tahun saya aktif berlakon. Selain muncul dalam drama bersiri dan telefilem, saya turut berlakon dalam video yang dimuat naik di laman sosial YouTube,” katanya.

Sean akui bukan mudah menempatkan diri dalam industri seni memandangkan persaingan sangat sengit.

“Satu perkara saya belajar daripada Elly Suriaty, kita jangan berlakon kerana orang lain sebaliknya harus melihat diri sendiri dan menilai hasil kerja kita.

“Drama Coffee Prince misalnya, ia turut menampilkan ramai bintang popular tetapi sebagai pelakon saya harus tahu ruang permainan lakonan saya. Menerusinya saya harus pastikan persembahan saya seimbang dan tidak tenggelam. Jika itu berjaya dilakukan, kata Elly penonton akan nampak kita walaupun masih hijau dan belum ada nama,” katanya.

Sambung Sean lagi, peluang membintangi Coffee Prince digunakan sebaik mungkin untuk meraih ilmu dan pengalaman terutama secara praktikal. Sebelum ini dia banyak membaca teori lakonan terutama membabitkan ‘method acting’.

“Ada benda yang saya baca itu tidak boleh digunakan dalam drama yang menampilkan lakonan bersahaja. Justeru, banyak saya belajar menerusi drama ini dan ia sangat berguna,” katanya.

Sementara itu, Syafiq berkongsi di awal pembabitannya dalam Coffee Prince, dia gementar namun apabila mendapat sokongan pelakon lain, rasa itu perlahan-lahan berubah menjadi teruja.

“Watak Hadi lakonan saya berbeza kerana sikap dan situasi yang dilalui sepanjang bekerja di kedai kopi melucukan. Jujur, saya bukan seorang yang kelakar dan watak ini satu cabaran buat saya,” katanya.

Coffee Prince mengisahkan Dani lakonan Janna Nick yang sering disalah anggap sebagai lelaki. Gadis berjiwa periang ini bekerja keras menampung kehidupan bersama ibunya, Zahara dan adiknya, Ira.

Raikal yang baru pulang dari New York dipaksa berkahwin oleh neneknya, Puan Seri Kalthom. Raikal cuba mengelak lalu mengupah Dani untuk memperdayakan semua calon pilihan neneknya.

Sementara itu, Kalthom melabur dalam kedai kopi Syukri dan menjadikan Raikal pengurus bersama. Raikal yang tidak mengetahui Dani sebenarnya wanita menawarkan gadis itu bekerja di kafe terbabit yang hanya dikhususkan untuk pekerja lelaki.

Sejak Dani bekerja di kafe itu, Raikal secara tidak sengaja jatuh hati kepadanya. Perasaan itu menyebabkan Raikal mula meragui seksualiti Dani kerana di matanya Dani seorang lelaki.

Sementara itu, Dani juga mula menyukai Raikal namun tidak mahu mendedahkan identiti sebenarnya kerana bimbang kehilangan kerja.

Identiti sebenar Dani akhirnya terbongkar sekali gus menjejaskan hubungannya dengan Raikal. Bagaimanapun, Raikal cuba memahami situasi Dani dan memaafkannya. Hubungan pasangan itu tidak bertahan lama apabila Kalthom menyebabkan mereka kembali berjauhan.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 8:06am
d