rap

Bawa emak ke Shanghai

Oleh Norhayati Nordin

Meskipun sudah acap kali berkunjung ke China, ia akan lebih istimewa apabila ditemani insan tersayang.

Itulah perkongsian pengacara Baki Zainal, 34, yang bercuti ke Shanghai, China baru-baru ini bersama ibunya, Zainah Hassan, 73.

Baki berkata, percutian lapan hari itu berlangsung pada pertengahan November lalu untuk penggambaran program Travel With My Love (NTV7).

“Sejak sedekad lalu, saya sering ke China kerana terbabit dengan pelbagai aktiviti penggambaran program TV.

“Cuma, kali ini sangat istimewa kerana percutian saya bersama ibu untuk penggambaran program membabitkan kami dua beranak.

“Apapun, saya akui bimbang pada mulanya kerana memikirkan ibu mungkin tidak selesa dengan persekitaran, cuaca dan makanan.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar kerana ibu boleh bawa diri dengan baik sepanjang kami di sana,” katanya.

Program travelog bahasa Mandarin edisi percutian Baki bersama ibunya akan disiarkan pada 29 Disember ini.

Baki atau nama sebenar, Zahamin Baki Zainal berkata apa yang pasti dia gembira dan puas hati kerana dapat menunaikan impian ibunya.

“Selama ini, apabila menyaksikan program saya yang rakamannya dibuat di China, ibu selalu bertanya mengenai masjid dikunjungi.

“Jadi, apabila kami berpeluang ke sana maka dapatlah saya bawa ibu berkunjung ke dua masjid terbesar.

“Masjid Golden Phoenix dan Masjid Utama Shanghai menjadi tumpuan masyarakat Islam di China,”katanya.

Mengulas tempat menarik lain dikunjungi, Baki berkata Shanghai adalah wilayah yang besar di China.

Justeru, mereka sempat berkunjung ke lokasi menarik di Hangzhou dan Suzhou.

Berbicara lanjut pengalamannya, pengacara program Let’s Cycle di 8TV ini berkata dia tidak sangka ibunya mampu berjalan sebanyak 16,000 langkah.

“Dalam erti kata lain, ibu saya berjaya menyahut cabaran berjalan kaki pada jarak jauh dan ia sesuatu yang tidak dijangka.

“Malah, ibu tidak merungut letih memandangkan ketika itu musim sejuk.

“Saya mempersiapkan keperluan lengkap untuk ibu merangkumi aspek keselesaan dan kesihatan.

“Biasalah, ibu saya sudah berusia dan alah cuaca. Jadi, menjadi tanggungjawab saya memastikan ibu sentiasa dalam keadaan sihat,” katanya.

Bagaimanapun, Baki berkata di sebalik kesibukan menjaga ibu tersayang dia sendiri mengalami demam.

Menurut anak bongsu ini, apa pun dia gembira dapat bercuti dengan ibunya.

“Sebagai anak, terlalu besar jasa ibu kepada saya.

“Saya harap dapat peluang membalas jasa ibu dan dapat membahagiakannya,” kata Baki.

Rancang buat umrah dengan ibu

Meneliti jadual kerjanya, Baki yang fasih berbahasa Inggeris dan Mandarin mengakui dia sentiasa sibuk.

Apa pun, demi menunaikan satu lagi impian ibunya Baki melapangkan masa untuk mengerjakan umrah bersama.

Jika tiada aral, Baki dan ibu dijangka berangkat ke Tanah Suci pada Januari 2018.

“Sebenarnya, ibu meluahkan hasrat mengerjakan umrah pada September lalu. Ketika itu saya bercuti dengan keluarga di Bali, Indonesia.

“Ibu tanya kepada saya, tidak ada niat ke untuk kerjakan umrah? Saya jawab padanya (ibu), belum ada rezeki lagi.

“Namun, siapa sangka rezeki daripada Allah datang sekelip mata dan saya dapat juga menunaikan hasrat ibu,” katanya.

Baki berkata apa yang diharapkannya sekarang semoga perancangan itu berjalan lancar dan tidak sabar menjadi tetamu Allah.

“Semoga umrah saya dan ibu nanti mendapat keberkatan,” katanya yang turut menzahirkan rasa berbesar hati di atas sokongan masyarakat terhadap kariernya selama ini.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 8:15am
d