rap

Tiada penyatuan semula DC

Oleh Georgie Joseph

Baru-baru ini, spekulasi mengenai anggota Destiny’s Child bakal bergabung pada festival muzik Coachella tahun depan menimbulkan keterujaan peminat kumpulan itu.

Tidak dinafikan, kemunculan Beyonce, Michelle Williams dan Kelly Rowland sangat dinantikan selepas masing-masing memutuskan bergerak secara solo.

Bagaimanapun, sumber terbaru mendedahkan kumpulan itu tidak mungkin bergabung.

Menurut laporan portal TMZ, Beyonce tidak merancang menjayakan persembahan dengan anggota Destiny’s Child yang lain.

Terdahulu, Beyonce memberi bayangan bakal menampilkan kejutan dalam persembahannya di festival itu kelak. Sekali gus, ia memberi harapan kepada peminat untuk melihat Destiny’s Child kembali bersatu.

Ternyata, ia bukan kejutan yang diharapkan dan hakikatnya gabungan semula itu hanya harapan palsu.

Peminat kumpulan itu sebelum ini cukup yakin kumpulan ikonik berkenaan akan bergabung semula berikutan Beyonce dan Michelle memberikan bayangan ke arah itu.

Khabar angin itu semakin meyakinkan apabila Beyonce terus memberikan bayangan demi bayangan.

Penyanyi Halo itu memang suka memberikan bayangan untuk setiap kejutan yang bakal dilakukan.

Ia termasuk awal tahun ini apabila penyanyi itu memuat naik foto dia memegang dua jari. Tidak lama kemudian dia memaklumkan hamil anak kembar.

Begitu juga beberapa bulan sebelum melancarkan album Lemonade, dia memuat naik fotonya dengan sebiji lemon.

Terbaru, dia memuat naik fotonya memakai baju yang tertera perkataan DC membuatkan peminat yakin Destiny’s Child akan kembali bergabung.

Michelle pula secara rawak memuat naik fotonya memakai baju yang digunakannya sewaktu Destiny’s Child beraksi pada persembahan separuh masa Beyonce’s Superbowl pada 2013.

Wujud khabar angin kumpulan itu akan turut disertai anggota lama iaitu LaTavia Roberson yang pernah tampil dalam lagu Bills Bills Bills.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 11:49am
d