rap

Selesa hidup sederhana

Oleh Ramlah Zainal

Gara-gara suami pernah ditipu rakan niaga hingga mereka kehilangan rumah banglo dua tahun lalu, Zarina Zainuddin mengakui dia sekeluarga kini selesa hidup sederhana.

Menurut Zarina, 47, dia tidak lagi memandang kemewahan yang sering kali dikaitkan dengan golongan selebriti.

“Selepas kejadian itu, saya lebih menghargai kehidupan.

“Saya kuat berdepan ujian itu dan bekerja keras mengusahakan bisnes pulut kuning bagi menyara kehidupan kami sekeluarga,” katanya.

Zarina berkata, dia bersyukur bisnes yang diusahakan sejak empat tahun lalu itu mendapat sambutan hangat.

“Saya juga mendapat tempahan daripada rakan artis seperti Nora Danish dan Fasha Sandha. Setiap kali ada acara pasti mereka menempah dengan saya,” katanya.

Lebih bermakna, kata Zarina, perniagaan yang dibuat di rumah itu turut merapatkan hubungannya dengan anak.

“Saya juga perlu meluangkan lebih banyak masa menjaga anak kembar autisme iaitu Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, 21.

“Sebelum ini, saya kerap menghabiskan masa di lokasi, tetapi menerusi bisnes ini saya dapat luangkan lebih masa bersama anak.

“Bisnes ini turut mendapat sokongan daripada madu saya yang turut menguruskan hal kewangan,” katanya.

Rancak penuhi tawaran berlakon

Rezeki Zarina dalam bidang lakonan juga tidak pernah putus selepas lebih setahun berhijab.

Malah, dirinya masih mendapat kepercayaan daripada penerbit dan pengarah drama sampai hari ini.

“Drama terbaru lakonan saya ialah kisah remaja autisme untuk stesen televisyen,” katanya.

Antara lakonannya sebelum ini adalah filem televisyen (FTV) berjudul Angin Cinta yang ditayangkan di saluran Astro First Eksklusif.

Selain itu, Zarina turut menjayakan Misteri Wan Peah, Ku Kirim Cinta, drama 13 episod Cinta Maya untuk RTM dan drama untuk slot lestary TV3, Raisha.

Dalam perkembangan lain, Zarina turut terbabit sebagai juri jemputan program TV Versus 1001 Rasa Baba’s untuk stesen TV3.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 11:59am
d