rap

Minta izin suami Elizad

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Pelakon Riezman Khuzaimi yang berkahwin dengan wanita ‘iron lady’, Datuk Normaziah Sheikh Mohamad, 48, mengakui tidak bercadang mendapatkan cahaya mata.

Riezman, 48, berkata, selepas genap setahun usia perkahwinan mereka pada 15 Disember lalu, perkara yang menjadi keutamaan adalah kehidupan berumah tangga.

“Kalau ikutkan, memang boleh lagi nak dapatkan zuriat, tetapi masing-masing sudah memiliki anak hasil perkahwinan terdahulu. Tambahan pula, isteri bakal menimang cucu kedua awal tahun hadapan.

“Lagi satu, berdasarkan faktor usia sekarang sudah agak suntuk untuk kami memberikan fokus kepada cahaya mata baru. Jadi, lebih baik sekiranya kami menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga dan perkahwinan ini.

“Pada masa sama, kami perlu memberikan komitmen penuh kepada kerjaya. Semua ini tanggungjawab yang perlu dilunaskan dengan sebaiknya,” katanya.

Hasil perkahwinan terdahulu bersama pelakon Kartina Ayub, mereka dikurniakan dua anak, Afiq Kiraman, 13, dan Ruzain Nars, 8. Sementara Normaziah pula memiliki empat anak dan seorang cucu.

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Riezman bakal muncul dalam filem Takdir yang bakal menemui penonton di seluruh negara pada 28 Februari tahun depan.

Filem itu diterbitkan bersempena Tahun Memperkasa Wanita 2018, sekali gus menyaksikan ia mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah Jabatan Pembangunan Wanita serta rakan strategik Kelab Wanita lkon Malaysia.

Menariknya, filem arahan kakak sulung Riezman iaitu Shirin Khuzaimi ini menggandingkan Riezman dan Siti Elizad buat pertama kalinya.

“Daripada lebih 20 filem yang pernah saya lakonkan, karya ini ada kelainan dari segi mesej dan jalan cerita. Apa saya boleh katakan, filem ini sarat dengan motivasi terutama buat pasangan suami isteri.

“Saya yang melakonkan watak Aziz iaitu suami kepada Elizad secara peribadi menginspirasikan watak ini. Aziz digambarkan sebagai lelaki yang sangat menyayangi keluarga serta memahami kerjaya isterinya. Tidak keterlaluan jika dikatakan, semua suami patut menonton filem ini,” katanya.

Menurut Riezman, filem itu diterbitkan dalam dua versi bagi disesuaikan dengan tayangan dalam negara serta di peringkat antarabangsa.

Bagi pasaran tempatan, kebanyakan babak romantik membabitkan Riezman dan Elizad disunting agar tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.

“Insya-Allah, karya ini bakal menyertai beberapa festival filem antarabangsa. Jadi, kita menghantar versi asal filem ini. Kalau ada babak disunting, nanti pemerhati filem luar tidak faham jalan cerita filem ini.

“Bagi pasaran tempatan, pihak produksi terpaksa mematuhi syarat yang sudah ditetapkan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF). Adegan yang disunting membabitkan kemesraan suami isteri.

“Bagi saya, babak berkenaan tidak keterlaluan, cuma mereka tidak mahu menimbulkan sebarang isu. Sebagai pelakon dan pembikin filem, saya menghormati sensitiviti masyarakat,” katanya.

Mengenai babak mesra yang dilakonkan dengan Elizad, Riezman mengakui dia meminta izin suami pelakon drama Syurga Yang Kedua itu.

“Baik saya mahu pun Elizad, kami profesional. Namun, bagi menghormati status Elizad, saya berjumpa dan meminta izin kepada suaminya. Saya tidak mahu orang beranggapan negatif dan memandang serong aksi kami.

“Begitu juga dengan isteri saya, dia ada bertanya mengenai babak terbabit. Saya berterima kasih kepadanya kerana dia memahami kerjaya saya. Saya perlu terangkan kepadanya kerana bimbang timbul masalah lain kelak. Dia juga ada datang ke lokasi melihat kami berlakon. Saya okey dan tak ada masalah pun,” katanya.

Riezman turut berkongsi, pengalaman gagal dalam perkahwinan membuatkan dia lebih mudah menjiwai watak Aziz yang digambarkan sebagai lelaki yang sangat bertanggungjawab.

“Diakui, episod perceraian lalu memudahkan saya menghayati watak Aziz. Malah, perkara ini memberi kesan dalam lakonan. Saya cuba serap jiwa dan roh Aziz dalam diri. Alangkah baiknya jika keperibadian Aziz ada dalam diri semua lelaki bergelar suami.

“Apa yang berlaku dulu, saya anggap ia ketentuan dan aturan Allah. Saya tidak mahu lagi mengungkit kisah lama. Antara saya dan bekas isteri, masing-masing sudah ada kehidupan sendiri. Dia pun sudah berkahwin lebih awal daripada saya,” katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 12:23pm
d