rap

Kekal filem pecah panggung!

Oleh HM Digital

Filem Star Wars: The Last Jedi merekodkan jualan tiket global sebanyak AS$450 juta (RM1.83 bilion) pada tayangan pembukaan hujung minggu lalu.

Ia sekali gus me­ngesahkan bahawa filem pengembaraan angkasa itu kekal sebagai filem pecah panggung.

Filem kelapan dalam siri Star Wars yang dicipta George Lucas pada 1977 itu berjaya mengutip jualan sebanyak AS$220 juta (RM897.49 juta) di Amerika Syarikat dan Kanada berdasarkan jangkaan ‘box office’ yang diterbitkan comScore kelmarin.

Jumlah jualan itu berada pada kedudukan kedua selepas jualan AS$248 juta (RM1.01 bilion) untuk filem Star Wars: The Force Awakens yang mula ditayangkan dua tahun lalu.

Tayangan permulaan itu menunjukkan kejayaan besar baru Walt Disney Company yang membeli penerbit Star Wars, Lucasfilm pada 2012 dan memperbaharui jalan cerita filem terbabit.

“Tiada banyak jenama yang boleh mengekalkan minat dan kekal relevan pada tahap ini. Ini me­ngukuhkan lagi semua filem Star Wars yang akan datang,” kata penganalisis media kanan comScore, Paul Dergarabedian.

Sekurang-kurangnya lima lagi filem Star Wars sedang disiapkan termasuk satu mengenai watak Han Solo ketika zaman muda yang akan ditayangkan pada Mei depan dan diikuti Episode IX pada Disember 2019.

Star Wars : The Last Jedi arahan Rian Johnson itu menampilkan lakonan hebat Mark Hamill, Carrie Fisher, Daisy Ridley, Adam Driver, John Boyega, Andy Serkis Benicio del Toro dan ramai lagi.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 4:43am
d