rap

Laluan di GV4 jawab persoalan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Pembabitan Aishah dalam program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) berbaloi apabila dia muncul juara sekali gus me­ngetepikan pesaing terdekat Liza Hanim dan Hazami yang turut disebut-sebut sebagai calon juara.

Ternyata, pengalaman menyanyi selama 30 tahun memberikan kelebihan buat Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin untuk memberikan saingan kepada peserta lain.

Malah, juri tetap program itu Datuk Ramli MS pernah menyebut, Aishah adalah seniman sejati yang muncul di pentas hanya untuk menyanyi tanpa memikirkan makna pertandingan.

Tolak tepi soal usianya kini mencecah 52 tahun, apa yang penting Aishah yang popular dengan lagu Janji Manismu sudah membuktikan dia masih hebat.

Aishah ketika ditemui mengakui, pada minggu pertama program itu dia berasa sangat sukar kerana sudah lama tidak menyanyi apatah lagi beraksi di pentas besar.

“Saya berfikir sama ada boleh bertahan atau tidak. Apabila layak sehingga ke akhir, saya hanya fikir mahu membuat persembahan terbaik.

“Diakui sepanjang program ini, saya sering mengadu penat. Namun, melihatkan sokongan daripada peminat terutama golongan muda membuatkan saya tidak boleh patah semangat.

“Memang betul program ini berjaya memperkenalkan semula bakat penyanyi lama kepada generasi baru. Sehinggakan kalau pergi masjid kanak-kanak pun boleh kenal saya. Mereka pun memanggil saya dengan nama Aishah. Saya juga sedar, sekarang zaman teknologi. Ke mana saja pergi ada peminat yang ingin berwefie,” katanya.

Menurut Aishah, sambutan diberikan peminat sekarang jauh berbeza daripada dahulu walaupun suatu ketika dia juga pernah berada di puncak populariti.

“Saya berasa seperti dejavu. Namun, pengalaman yang ada boleh mengajar saya untuk mengawal peminat. Biarpun sebelum ini saya seorang yang pentingkan privasi, tetapi saya terima semua perubahan. Saya berharap boleh berdepan dan laluinya dengan baik,” katanya.

Aishah yang mula mencipta nama menerusi kumpulan The Fan Club berharap kemenangan itu bukan kemunculan terakhirnya di pentas nyanyian.

Malah, Aishah membuktikan kemampuan dan bakat sebenarnya sepanjang pertandingan berlangsung. Dia juga menepis tanggapan segelintir pihak yang sebelum ini mempersoalkan kredibiliti nyanyiannya.

“Kalau ikutkan hampir lima tahun tak muncul menyanyi di kaca TV. Kali terakhir saya dijemput dalam program rakaman Duo Star Raya pada Aidilfitri lalu. Selama ini orang beranggapan saya berhenti menyanyi.

“Bukan nak mendabik dada, tetapi perjalanan dalam GV4 ini sudah menjawab segala persoalan. Saya berharap ini bukan penampilan terakhir.

“Lagipun, peminat sekarang sudah boleh menilai. Pada masa sama, artis juga mempunyai hak dan pilihan masing-masing sama seperti orang lain,” katanya.

Kembalikan populariti

Apa yang pasti, kemenangan Aishah itu turut mengembalikan popularitinya.

Walaupun dia kembali dalam suasana selera pencinta muzik terarah kepada penyanyi baru, Aishah tetap optimis.

“Pengalaman sebelum ini membuatkan saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Saya sangat hargai usaha dan sokongan diberikan peminat. Saya terharu apabila masih ada yang ingat dan minat.

“Paling penting sekarang, saya perlu ke depan dan ikut kehendak peminat iaitu aktif di laman sosial. Sebenarnya, akaun Instagram saya sudah lama wujud, tetapi tak tahu macam mana nak gunakan. Mulanya tahu selepas diajar anak, kemudian saya lupa sehinggalah ia terbiar,” katanya.

Aishah juga menjelaskan, dia terbuka menerima tawaran menyanyi daripada mana-mana pihak. Malah, dia mengingatkan supaya jangan takut untuk memanggilnya menyanyi.

“Selepas menang, lagi orang takut nak panggil saya menyanyi. Saya tidak pernah ‘demand’ sehingga meletakkan harga mahal. Saya jenis yang boleh dibawa berbincang, tetapi kalau boleh biarlah ia masuk akal.

“Saya nak sentiasa diberikan peluang dan biar ia berterusan. Saya suka berjumpa dengan peminat. Kiranya, GV ini membuka ruang berkenaan. Rugi sekiranya terdapat pihak yang mengehadkan bakat seseorang penyanyi hanya kerana perkara lain,” katanya.

Berkongsi mengenai hadiah dimenangi, Aishah memang sudah lama berhajat memiliki tanah bagi membina rumah sendiri.

“Sebelum ini saya berdepan masalah membabitkan tanah apabila hak saya dinafikan. Jadi, apabila hadiah kemenangan adalah sebidang tanah lot, impian saya tercapai.

“Wang kemenangan RM100,000 pula, saya ibaratkan sebagai duit pencen. Kalau orang bekerja dapat keluarkan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) pada usia 55 tahun, sama juga dengan ini. Saya mahu bayar hutang dan simpan untuk masa depan,” katanya.

Pada peringkat akhir itu, Aishah memukau dengan lagu All By My Self nyanyian asal Celine Dion yang turut membuatkan juri tetap Hetty Koes Endang menitiskan air mata.

Aishah mengutip markah keseluruhan 81 peratus meninggalkan Liza Hanim ditempat kedua (79 peratus), Lan Solo (70.4 peratus), Hazami (70 peratus), Firman (69 peratus) dan Tia Jinbara (66 peratus).

Menurut Hetty, final GV4 yang diadakan di Johor Bahru malam kelmarin adalah malam Aishah berdasarkan persembahan mantap diberikan.

“Malam ini (kelmarin) memang malam Aishah. Dari segi lagu dia memiliki kelebihan besar untuk menang. Saya selalu pentingkan vokal, dinamik dan penghayatan. Aishah bagus untuk semua kriteria. Cuma markah dia lebih dari segi penghayatan. Saya dapat rasa apa yang disampaikan.

“Manakala untuk persembahan ‘battle’, markah Aishah dan Liza Hanim sama. Gandingan mereka untuk lagu ini bagus. Mereka saling memberi tanpa ada yang berlebih,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 6:27am
d