rap

'Isteri saya tak ikut kerana hamil' [METROTV]

Oleh Georgie Joseph

KETIADAAN isteri sepanjang usahawan Datuk Seri Aliff Syukri, 30, ke Sepanyol baru-baru disebabkan hamil tiga bulan dan bukan ditingggalkan kerana ada hubungan dengan Nur Sajat.

Aliff berkata, isterinya, Datin Sri Nur Shahida Mohd Rashid hamil anak keempat dan tidak boleh menaiki penerbangan selama 21 jam untuk ke Sepanyol.

“Saya kesal ada netizen mendakwa saya sengaja tidak membawanya kerana ada hubungan dengan Nur Sajat.

“Cerita sebenarnya, isteri saya hamil dan tidak boleh menaiki penerbangan selama 21 jam. Dia sendiri memutuskan tidak ikut kerana kesihatan dan tidak mahu menyusahkan semua orang di sana kelak.

“Cerita saya skandal dengan Nur Sajat itu cuma dakwaan liar,” katanya kepada Harian Metro.

Aliff yang baru merakamkan single Abang Nak Tegur, memilih Sepanyol sebagai lokasi penggambaran muzik video lagu ciptaan Edry Abdul Halim itu baru-baru ini. Muzik video itu diarahkan Yusry Abdul Halim.

Sejak dilancarkan 23 November lalu, lirik video rasmi Abang Nak Tegur kolaborasinya dengan Nur Sajat mendapat tontonan lebih 3.7 juta dan menerima ‘dislike’ lebih 328,000.

Aliff yang melancarkan single itu hari ini mengakui tidak terkesan dengan kecaman yang diterima daripada netizen mengenai keputusannya menyanyi dan mengakui vokalnya teruk.

“Saya tahu suara saya tidak sedap dan kedengaran seperti katak puru. Bagaimanapun, saya bukan menyanyi kerana mahu tunjuk vokal atau seumpamanya.

“Saya lakukan untuk suka-suka dan sekadar menghiburkan ramai. Lagipun lagu itu memang sedap dan sebenarnya banyak mesej baik dalam liriknya,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 7:25pm
d