rap

Konsert kembalikan nostalgia

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Sempena ulang tahun ke-25 penubuhannya, kumpulan OAG yang popular dengan lagu 60’s TV, Slumber dan Generasiku bakal mengadakan persembahan pada 25 Disember ini di The Bee, Publika, Kuala Lumpur.

Tarikh itu dipilih bagi mengingati penubuhan OAG pada 25 Disember 1992 apabila mereka menyaksikan Konsert Ikhlas di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Dari situ tercetus idea penubuhan OAG yang dibarisi Radhi (penyanyi, gitar), Lam (bass), Ivan (gitar) dan Qi (dram).

Qi yang kini popular sebagai pelakon dan pengacara berkata, pada persembahan itu juga mereka bakal melancarkan single Inggeris terbaru berjudul Snowball.

“Tanpa disedari OAG bakal menyambut ulang tahun ke-25. Bagi mengembalikan nostalgia 25 tahun lalu, kami sepakat muncul semula. Sebagai permulaan, kami mengadakan persembahan sebagai hadiah buat peminat yang sentiasa memberikan sokongan.

“Istimewanya juga, single baru turut dilancarkan dalam bentuk kaset edisi khas sebanyak 100 unit saja. Selain itu, kami turut melancarkan CD single ini berserta cenderahati khas dengan kerjasama Yarnbombing MY,” katanya.

Menurut Qi, OAG juga dalam perancangan menghasilkan album penuh yang dijangka dilancarkan pada tahun depan.

Ia sekali gus menyaksikan OAG kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan muzik lebih segar.

“Kami tidak mahu terhenti setakat satu single dan gig saja. Saya percaya peminat OAG masih rindukan karya kami. Jadi, OAG bakal muncul dengan album penuh nanti.

“Selama ini, ramai yang bertanya bila OAG nak muncul dengan lagu atau album baru. Diakui perancangan ini sudah lama, tetapi tertunda disebabkan komitmen kerja daripada anggota.

“Alhamdulillah, selepas duduk berbincang perkara ini bakal direalisasikan. Ia juga menjadi buah tangan terbaru buat peminat yang membesar dengan lagu OAG,” katanya.

Berkongsi mengenai single baru itu, Qi berkata ia turut membabitkan beberapa anggota baru sebagai langkah penjenamaan semula OAG.

Selain Qi dan Radhi, OAG turut dibarisi anggota baru iaitu Izmer (keyboard), Ammal (gitar, penyanyi kedua), Nizam (gitar) dan Yen (bass).

Qi berkata, dia yakin single Snowball yang dirakam bersama anggota baru itu mampu mengubat dan mengembalikan kenangan mereka 25 tahun lalu.

“Tidak dinafikan ketika ini pasaran muzik kita berbeza. Peminat lebih terarah kepada penyanyi solo. Namun, saya yakin single baru ini boleh diterima. Bagi yang meminati muzik kami, lagu ini masih dianggap relevan pada masa sekarang,” katanya.

Sementara itu, Radhi meluahkan rasa teruja untuk beraksi kembali bersama kumpulan yang pernah mengangkat namanya dalam bidang muzik.

Radhi berkata, persembahan itu bukan untuk hiburan semata-mata, sebaliknya lebih kepada mengimbau semula perjalanan muzik OAG sepanjang 25 tahun.

“Saya sudah tak sabar nak buat persembahan. Sejak awal perancangan lagi, saya sudah berasakan auranya. Saya berani beri jaminan penonton tak akan bosan dengan persembahan kami nanti. Pendek kata, tiket yang dibeli berbaloi.

“Kalau ikutkan agak lama juga saya tidak beraksi bersama OAG, jadi ini kesempatan terbaik untuk kami memberikan persembahan terbaik khas untuk peminat. Sebagaimana mereka rindukan OAG, begitu juga perasaan rindu saya terhadap peminat.

“Biarpun sudah banyak kumpulan baru muncul, peminat OAG masih ada. Sokongan diberikan membuatkan kami lebih bersemangat untuk menghiburkan mereka,” katanya.

Selain persembahan OAG, ia turut dimeriahkan dengan beberapa kumpulan yang bakal menyanyikan lagu popular OAG dalam versi mereka sendiri.

Antaranya ialah Pita Hati, The Rudean, Anavrin, Frodo dan theAlif.

Disiarkan pada: December 21, 2017 @ 3:18am
d