rap

Sorok dulu wajah anak

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Sudah menjadi trend dalam kalangan selebriti yang tidak berkongsi wajah dan nama anak yang dilahirkan. Biarpun perkara itu antara yang dinantikan peminat, mereka ada alasan tersendiri.

Malah, ada antara mereka mendakwa mengikut sunah Rasulullah SAW iaitu berkongsi berita baik itu selepas tujuh hari kelahiran. Ada juga yang berahsia disebabkan terikat dengan kontrak membabitkan program realiti stesen TV.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan peminat mereka tidak faham untuk membezakan perkara yang boleh dikongsi kepada umum atau bersifat peribadi.

Bagi mana-mana selebriti yang berkongsi, tentu saja mendapat pujian peminat. Sebaliknya yang berlaku kepada mereka mengambil pendekatan untuk berahsia terlebih dulu.

Persoalan sekarang, adakah menjadi satu kewajiban untuk artis berkongsi wajah dan nama anak mereka sejurus dilahirkan?

Cuit Sikit mengupas isu ini yang ada ketikanya menimbulkan perdebatan peminat khususnya di laman sosial.

Scha Alyahya

“Saya dan suami ada alasan tersendiri kenapa tidak berkongsi wajah dan nama anak pada awal kelahiran. Ketika itu kami terikat dengan kontrak program realiti. Pada masa sama, kami dulu wajah eksklusif Astro.

Namun, akhirnya baru saya tahu tindakan kami ada baiknya. Orang kata, memang tidak elok untuk berkongsi wajah anak selepas dilahirkan. Kalau boleh tunggu anak besar sikit iaitu sekurang-kurangnya selepas habis tempoh berpantang.

Namun, saya faham persepsi peminat. Ada yang bersetuju dan tidak kurang juga mengkritik. Bagaimanapun, dalam perkara ini ia terpulang kepada artis berkenaan.

Pada masa sama, masyarakat kita juga perlu diberi pendedahan mengenai perkara ini. Jangan disebabkan ada artis belum sedia berkongsi wajah anak, mereka dilemparkan dengan kritikan. Macam saya dulu, apa saja dibuat semuanya salah.

Apa yang saya perasan sekarang, masyarakat kita juga sudah boleh menerima perkara ini. Malah, mereka bersetuju jika ada antara selebriti yang belum bersedia mendedahkan wajah dan nama anak mereka.”

Datuk Seri Siti Nurhaliza

“Saya ikut petua orang tua dulu yang menyatakan tidak elok dedahkan wajah anak yang baru lahir. Beri sedikit masa. Pada masa sama, saya perlu menghormati pendirian suami. Saya ikut mana yang dirasakan sesuai.

Kadangkala saya okey, suami pula sebaliknya. Jadi, saya kena patuh. Mungkin apa yang difikirkan suami ada betul dan rasionalnya. Jadi, saya tidak boleh ikut kepala sendiri.

Sama seperti selebriti lain, saya juga terfikir untuk mewujudkan akaun Instagram anak yang bakal lahir. Saya boleh mengabadikan segala momen di situ. Ini juga satu lagi cara untuk saya berkongsi kepada peminat.

Cuma, saya belum pasti lagi bila nak buat. Kalau anak tak ada akaun Instagram sendiri pun, saya muat naik di Instagram sendiri dulu. Bagi saya, sama saja.”

Ammar Hot FM

“Buat masa sekarang, wajah anak kami belum boleh dikongsikan. Ia atas permintaan isteri. Katanya, selepas habis tempoh berpantang baru boleh berkongsi gambar anak. Keluarga yang datang pun faham dan mereka menghormati permintaan isteri. Dalam perkara ini, ia menjadi hak individu.”

Amar Baharin

“Saya dan isteri berbesar hati hendak berkongsi wajah dan nama anak selepas dilahirkan tetapi kami mendapat hak eksklusif penyiaran. Kami tidak mahu melanggar kontrak.

Disebabkan itu, serentak dengan penayangan program The Adventure of Aqeef Amyramar, baru kami berkongsi gambar kepada semua. Sebelumnya, tidak dinafikan hampir setiap hari peminat bertanya nama dan teringin melihat wajah anak.

Saya dan isteri mengambil keputusan memuat naik gambar anak tetapi tidak secara penuh. Sekurang-kurangnya dapat memenuhi permintaan peminat. Kami tidak mahu bertindak seperti segelintir artis lain yang meletakkan emoji pada wajah anak. Ia hanya menimbulkan kemarahan orang.”

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 12:49am
d