rap

Ayda selesa kawan dengan Redza

Oleh Norhayati Nordin

Pelakon dan penyanyi popular, Ayda Jebat, 25,mengakui dia selesa berkawan rapat dengan pelakon Redza Rosli, 25.

Ayda atau Nur Suhada Jebat berkata, dia yang tidak mempunyai ramai kawan rapat dalam kalangan selebriti ternyata sangat menyenangi Redza.

"Saya selesa bersahabat baik dengan Redza kerana sangat menyenangi sikap dan karekter dirinya.

"Redza yang saya kenal adalah anak emak. Dia (Redza) seorang yang memahami, baik, boleh dibawa berbincang, manja, penyayang dan bersikap melindungi.

"Terus-terang, saya memang suka dan selesa berkawan rapat dengan lelaki yang dilabel 'anak emak' ini," katanya kepada Harian Metro.

Pun begitu, Ayda berkata istilah selesa berkawan rapat diakuinya jangan pula disalah erti dengan mudah oleh peminat hingga menganggap dia dan Redza kini bercinta.

"Saya sebenarnya kalau boleh tidak mahu sesekali dikaitkan dengan percintaan atau soal peribadi. Ini kerana, ia boleh mengganggu fokus pada karier saya.

"Jujur diakui, saya lebih suka peminat menerima dan menyokong saya mahu pun Redza kerana bakat seni kami dalam karier yang diceburi ini.

"Itu lebih baik dan sangat positif berbanding kalau asyik berkongsi kisah peribadi saja. Saya mahu bakat serta karier yang berada di hadapan untuk jadi perhatian peminat dan bukannya soal cinta. Ia tidak adil," ujarnya.

Hubungan rapat Ayda dan Redza mula hangat menjadi buah mulut peminat selepas mereka berlakon bersama dalam drama Ku Kirim Cinta di slot AkasiaTV3 pada Mei lalu.

Sejak itu, perhatian peminatterhadap pasangan ini juga tidak pernah surut kerana mereka dilihat saling berbalas komen di akaun media sosial masing-masing.

Malah, Redza juga dikatakan sering muncul bersama Ayda pada acara hiburan yang membabitkan gadis ini kerana mahu memberi sokongan.

Apapun, yang pasti kebanyakan peminat tegar Ayda dan Redza sangat menyokong serta menerima baik persahabatan rapat itu dengan hati terbuka.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 5:08pm
d