rap

Bimbang terpalit kontroversi

Oleh Ardini Sophia Sina

Pelakon yang mencipta nama menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz, Raja Muhammad Afiq Raja Razali baru tiga tahun bertapak di persada seni tanah air. Namun, namanya sudah beberapa kali terpalit dengan kontroversi.

Terbaru, namanya dikaitkan pula dengan isu lelaki yang didakwa enggan bertanggungjawab menghamilkan seorang gadis yang mendapat liputan meluas di akhbar, baru-baru ini.

Selain Afiq, pelakon Idris Khan turut terkena tempias sama. Beberapa nama pelakon lelaki lain juga dipetik dalam isu panas yang menjadi tanda tanya kepada peminat industri seni.

Enggan terus dikaitkan dengan mana-mana gosip dan kontroversi, Afiq seboleh-bolehnya ingin bersih daripada sebarang cerita panas yang menjejaskan nama baiknya dalam bidang seni tanah air.

“Saya tidak tahu menahu mengenai isu itu. Memang mengejutkan apabila nama saya dikaitkan dengan isu terbabit. Kes lari dari lokasi pun sehingga kini masih ada yang bercakap, timbul pula cerita baru seperti itu.

“Kalau mahu katakan terkenal, populariti saya tidaklah sama seperti pelakon lain. Mungkin kerana drama itu ditayangkan sebab itu timbul cerita kurang enak seperti itu.

“Disebabkan perkara seperti itulah, saya tidak kesah kalau kurang dikenali ramai. Saya bimbang terpalit dengan mana-mana kontroversi. Situasi itu membuatkan hidup saya tidak tenang,” katanya.

Bagi Afiq, selepas isu besar kepala sehingga meninggalkan lokasi penggambaran hangat diperkatakan, dia sentiasa berhati-hati agar tidak tersalah langkah. Dia bimbang, cerita seperti itu akan menjadi penghalang untuk kerjayanya daripada terus berkembang.

Anak seni yang digilap menerusi Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2014 itu berkata, setiap perkara yang terjadi mematangkan dirinya meniti perjalanan seni yang baru saja dibina.

“Saya ingin mengetengahkan bakat lakonan sedia ada. Saya tidak perlu cerita sensasi untuk meningkatkan nama dan populariti. Tidak perlu bersandar pada perkara seperti itu kerana ia tidak menjamin saya untuk kekal lama dalam industri seni tanah air.

“Mungkin hari ini, orang akan menyebut nama saya tetapi sebaik saja kontroversi itu ‘sejuk’, mereka akan bercerita mengenai perkara lain pula. Lagipun menjadikan gosip sebagai pencetus pada populariti bukan tindakan yang bijak.

“Ia hanya akan memburukkan keadaan kerana nama kita terpalit dengan kontroversi. Orang ramai akan ingat kita kerana kisah seperti itu dan bukan disebabkan bakat lakonan yang kita tonjolkan,” katanya.

Tidak berselindung, Afiq memuat naik gambar bersama teman wanitanya yang dikenali sebagai Cik B ke laman sosial Instagram. Hampir dua tahun memberikan sepenuh tumpuan pada kerjaya, dia mengaku hatinya kini berbunga cinta.

“Benda seperti ini kenapa perlu sorok? Kalau ditanya memang saya akan jawab sudah ada teman wanita. Hubungan kami masih baru. Beri kami ruang untuk kenali hati budi masing-masing.

“Saya mengenali dia menerusi abang. Alhamdulillah, hubungan kami direstui keluarga kedua-dua belah pihak. Namun, masih terlalu awal untuk bercerita mengenai perancangan seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2017 @ 4:35am
d