rap

Dea memang suka Nidji

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Saat kumpulan pernah dianggotainya Hivi tampil dengan album sulung pada awal 2015, Dalila Azkadiputri atau Dea mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan itu.

Alasan diberikan waktu itu, dia mahu meneruskan pengajian dalam bidang fesyen dan itu syarat diberikan ibu bapanya sebelum dia boleh membuat keputusan untuk melakukan apa saja kehendak hatinya.

Hampir dua tahun berlalu, selepas tamat pengajian dia kembali mewarnai industri muzik Indonesia dan kini mencuba nasib melebarkan sayapnya di sini.

Begitupun di seberang banyak ‘cakap belakang’ timbul, Dea meninggalkan Hivi kerana dia tidak ada keserasian bersama anggota lain.

Harus meninggalkan Hivi atas arahan ibu bapanya dan harus menamatkan pengajian berbaki dua semester waktu itu hanya sekadar alasan.

Ditemui dalam satu sesi temubual baru-baru ini, Dea juga menafikan dakwaan itu dan menegaskan dia keluar dari Hivi dengan cara baik.

Dea juga berkunjung ke Kuala Lumpur baru-baru ini bagi mempromosikan lagu duetnya dengan kumpulan Nidji, Hancur Aku yang juga single kedua dari album terbaru kumpulan popular dari seberang itu, Love. Fake & Relationship.

Hancur Aku adalah nyanyian asal kumpulan Estranged yang menampilkan duet bersama Fazura dan ia digubah kembali Nidji dan dimuatkan dalam album terbaru mereka.

Bercerita lebih terperinci, kata Dea, anggota kumpulan Hivi yang kini dianggotai Ilham Aditama, Febrian Nindyo dan Ezra Mandira memahami akan keputusan itu dan mereka merestuinya.

“Sewaktu mahu mencari pengganti, saya mengambil inisiatif bersama anggota lain menilai mereka yang datang untuk diuji bakat. Kami tidak bermusuh malah antara kami saling menyokong,” katanya.

Melihat pada pembabitan Dea yang membuat kemunculan kembali secara solo, ternyata dia bertuah apabila diberikan peluang untuk berduet dengan kumpulan Nidji.

Ia secara tidak langsung dapat membantu dirinya untuk melonjakkan kembali nama yang sudah tidak diingati peminat dan penggiat industri muzik Indonesia.

Adakah kerana dia menjalin hubungan istimewa dengan seorang anggota kumpulan Nidji sehingga dia memperoleh peluang dan keistimewaan berduet bersama kumpulan itu?.

Bukan itu saja, baru-baru ini sewaktu Nidji ke sini untuk menjayakan konsert bersama Search dan Hujan, Dea turut tampil sama menyanyikan lagu Hancur Aku.

Mengulas mengenai perkara itu, Dea tidak menafikan dirinya bertuah kerana peluang diberikan tetapi menafikan menjalin hubungan dengan mana-mana anggota kumpulan Nidji.

“Secara kebetulan apabila saya mengambil keputusan untuk kembali menyanyi, syarikat rakaman PT Musica Studios melamar dan menandatangani kontrak dengan mereka. Pada masa sama, Nidji turut bernaung bawah syarikat rakaman sama.

“Waktu itu Nidji menjalani proses rakaman album terbaru dan pihak Pt Musica Studios menyarankan mereka muncul dengan lagu duet dan saya penyanyi undangannya,” katanya.

Bagi Dea, berduet dengan penyanyi utama kumpulan Nidji, Giring adalah ibarat orang yang mengantuk disorongkan bantal. Dia juga memang meminati muzik yang diketengahkan kumpulan terbabit.

“Saya memang sukakan Nidji kerana muzik yang ditampilkan sangat berbeza dengan semua kumpulan yang ada di Indonesia. Mereka ada kelebihan tersendiri dan saya gemarkan itu.

“Apatah lagi mereka antara kumpulan yang disegani dan bertahan selama 15 tahun dalam industri muzik seberang. Berduet bersama mereka adalah satu penghormatan buat saya,” katanya.

Kata penyanyi yang kini muncul dengan single terbaru Cinta 99% (persen), dia tidak menghadapi masalah sepanjang proses rakaman lagu Harus Aku kerana Nidji sendiri bersikap terbuka dan banyak membimbingnya.

Disiarkan pada: December 24, 2017 @ 4:40am
d