rap

'Saya terima saja...'

Oleh Norhayati Nordin

Biarpun sudah beberapa kali mengerjakan umrah, kunjungan pengacara Zoey Rahman, 31, ke Tanah Suci Makkah pada 6 Disember lalu menjadi perhatian ramai.

Ia berlaku apabila peminat turut melihat kelibat penyanyi wanita popular, Siti Nordiana Alias atau Nana, 32, bersama keluarganya menyertai rombongan umrah berkenaan.

Namun begitu, rata-rata peminat Zoey dan Nana tidak mengecam dua sahabat baik ini sebaliknya mendoakan pasangan ini ke jenjang pelamin.

Mengulas perkara itu, Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abd Rahman berkata, dia menerima semua doa peminat itu dengan hati terbuka.

“Bagi saya, jika peminat sudah mendoakan yang baik, terima saja dan pada masa sama, jangan lupa mendoakan kebaikan untuk orang itu.

“Bagaimanapun, saya memang tidak sangka peminat kami akan berfikir sejauh itu. Namun, saya menghargainya.

“Bagi saya dan Nana, kami sedikit pun tidak terguris hati dengan segala hashtag yang dibuat peminat. Ini kerana kami tahu mereka (peminat) gembira.

“Lagipun rata-rata hashtag itu ditulis dengan perkataan yang baik dan tidak melampaui batas,” katanya.

Pelakon yang dikenali menerusi drama Mat Rukun di TV9 ini juga memberitahu, dia faham sudah menjadi cara peminat sekarang suka menjodohkan selebriti kegemaran mereka.

“Pada saya, ia perkara yang baik. Ini kerana pandangan mata setiap orang berbeza dan ikut suka mereka juga memilih pasangan artis untuk dijodohkan.

“Saya seorang yang positif. Bagi saya tidak perlu cuba mewujudkan isu untuk sesuatu perkara yang tidak perlu,” katanya.

Menurut Zoey, apa pun dia sangat menghargai sokongan peminat kepadanya dan hanya mampu berterima kasih.

Bercerita mengenai perjalanan karier seninya, anak jati kelahiran Terengganu ini berkata, dia bersyukur masih menerima tawaran berlakon drama sampai sekarang.

“Drama terbaru lakonan saya iaitu Ana Kleopatrena sebanyak 30 episod sudah disiarkan saluran Hypp TV.

“Jika tiada aral, pada tahun depan, saya akan membintangi drama 13 episod, Inai Yang Hilang terbitan Padi Pictures Sdn Bhd.

“Diikuti pula satu projek telefilem. Selain itu, difahamkan drama Mat Rukun ada permintaan untuk musim kedua,” katanya.

Tidak ketinggalan, Zoey juga bakal beraksi menerusi filem Awang Gerudi arahan sutradara senior, Z Lokman.

Mengulas lakonannya untuk watak komedi, Zoey berkata, dia suka mencuba karakter baru dan gembira lakonannya diterima penonton.

“Macam lakonan dalam drama Mat Rukun, saya tidak sangka impak yang diterima untuk karakter itu agak besar.

“Terus terang, ada peminat yang memanggil saya dengan nama Mat Rukun apabila bertemu di Tanah Suci Makkah, baru-baru ini.

“Nampaknya, menjadi juga percubaan saya untuk watak komedi. Terima kasih pada penonton yang sentiasa memberi sokongan dalam memantapkan prestasi lakonan.

“Kini, saya jadi bersemangat untuk berlakon watak komedi. Bagi saya, jika kita memberi komitmen terbaik, apa saja watak ditawarkan tidak menjadi masalah,” katanya.

Pada awal kemunculannya dulu, Zoey sangat dikenali sebagai pengacara program kanak-kanak, Gerak Geri Gasing di saluran Astro Ceria.

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 12:15am
d