rap

Suka jadi mentor

Oleh Michelle Gun

Bagi mencungkil bakat baru di rantau Asia, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia memperkenalkan kempen Dreams Come True untuk mencari penyanyi menerusi aplikasi muzik Spotify.

Kempen dilancarkan pada 13 November lalu menyaksikan seramai 20 penyanyi dengan jumlah penstriman tinggi di Spotify dipilih untuk berebut peluang membuat persembahan dengan produser terkenal, David Foster.

Selepas sebulan berlalu, empat penyanyi diumumkan sebagai finalis bertuah iaitu kumpulan IV of Spades (Filipina), Kuizz (Malaysia), Miss Lou (Singapura) dan Abirama (Indonesia).

Sebelum pengumuman juara pada Januari nanti, semua finalis bertemu dengan Foster di Singapura, baru-baru ini untuk sesi mentor.

Menurut Foster, sesi selama sejam itu digunakan untuk berkenalan dengan peserta dan berkongsi pengalamannya selama 30 tahun dalam bidang muzik.

“Kami bermain muzik dan saya berpeluang mengenali latar belakang mereka. Saya sekarang suka menjadi mentor dan mahu mencari bakat baru,” katanya.

Pemuzik berusia 68 tahun itu mempercayai rantau Asia dapat melahirkan bintang hebat.

“Saya mencari penyanyi berbakat dan ingin menjadi individu yang menemui bintang itu. Bukan saja vokal bagus, tetapi penyanyi itu perlu memiliki bakat lain seperti yang ada pada Ed Sheeran,” katanya.

Memberi komen mengenai persembahan Kuizz, Foster berkata, dia tertarik dengan lagu ciptaan produser dan penyanyi muda itu.

“Lagu dia moden dan kontemporari yang digabungkan dengan budaya pop. Kuizz juga dikenali di luar negara dan dia mempunyai bakat dalam menghasilkan lagu yang bagus,” katanya.

Ditanya mengenai trend kemunculan ramai artis dari media sosial yang popular dengan menyanyikan lagu penyanyi lain, Foster berpendapat kelebihan itu adalah baik.

“Saya tidak kisah mereka mencuba nasib dengan menyanyi lagu penyanyi lain. Contohnya, Michael Buble, dia memulakan kariernya dengan menyanyikan lagu penyanyi lain. Dia hanya menghasilkan lagu baru untuk album kedua,” katanya.

Berhenti menghasilkan lagu

Dalam perkembangan lain, Foster memberitahu, dia sudah tidak lagi menerbitkan lagu untuk artis kerana mahu memberi tumpuan pada perkara lain.

“Pada pendapat saya, seorang juara tahu bila untuk berhenti. Saya ada banyak perkara yang mahu dilakukan seperti melancong, mencari bakat penyanyi baru dan buat konsert.

“Selalunya, saya terbang ke sana sini adalah untuk bekerja,” katanya.

Bagaimanapun, pemuzik berkenaan meletakkan pengecualian istimewa kepada Michael Buble kerana mahu meneruskan kerjasama dengan penyanyi terkenal itu.

“Sudah setahun saya tidak masuk studio rakaman kerana sibuk dengan perkara lain. Tetapi, untuk Michael, saya tidak kisah untuk membantu menerbitkan album barunya.

“Ini kerana saya suka Michael dan vokalnya mantap,” katanya yang belum bersedia berundur daripada bidang seni.

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 12:17am
d