rap

Impak Maksima kembali ke pawagam

Oleh Amirul Haswendy Ashari

FILEM pecah panggung dengan catatan kutipan lebih RM2 juta ketika ditayangkan pada tahun 2007 iaitu Impak Maksima bakal kembali tidak lama lagi.

Pengarahnya, Ahmad Idham Nadzri, berkata ramai peminat filem genre permotoran terutama 'drifting' bertanya bilakah filem Impak Maksima 2 mahu difilemkan?

"Entah kenapa tiba-tiba ramai yang bertanya mengenai perkara ini sehinggakan ada yang menghantar pesanan secara peribadi di laman sosial saya.

"Buat masa ini, barisan pelakon asal seperti (Datuk Seri) Eizlan Yusof, Cat Farish dan Awal sudah bersetuju dan hanya menunggu skrip ini siap," katanya, hari ini.

Untuk rendisi kedua ini, Ahmad Idham turut meletakkan pelakon Hairul Azreen dan Achey Bochey antara watak utama.

Katanya, skrip filem aksi itu kini dalam proses akhir bagi memastikan jalan cerita serta aksi yang ditawarkan lebih kemas dan padat.

Imbas kembali, kejayaan filem Impak Maksima turut disusuli dua buah siri televisyen, Impak Maksima the Series pada 2008 dan Rempit vs Impak Maksima pada 2009 dan pementasan muzikal Impak Maksima The Musical di Istana Budaya.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 12:51pm
d