rap

Iqram, perbanyak ingat Allah

Oleh Hayati Ibrahim

DEKATI al-Quran dan berzikir. Itu antara isi kandungan surat terbuka Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri kepada pelakon Iqram Dinzly yang dimuatnaik dalam Facebook (FB) beliau hari ini.

Zulkifli berkata, hanya dengan mengingati Allah SWT dengan mendekati al-Quran dan berzikir, jiwa akan menjadi tenang.

Selain itu, Zulkifli turut menjemput Iqram hadir ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya untuk lebih mengenali antara satu sama lain, serta berbincang berkenaan situasi dan keadaan pelakon terbabit.

"Mungkin ada sisi tertentu yang boleh kami usahakan untuk bantuan dan sokongan. Boleh menghubungi kami melalui Twitter @drzul_albakri atau Instagram @drzulkifli.albakri," katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya juga maklum mengenai kehidupan pelakon berkenaan dalam media sosial, selain mengucapkan takziah di atas pemergian bapa Iqram, Muhammad Saipuddin Ahmad Said.

"Kami percaya, saudara Iqram dan mama, amat tabah menghadapi ujian ini. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Iqram sekeluarga. Kami juga yakin, Iqram mampu menjaga mama dengan sebaiknya setelah pemergian papa yang dikasihi.

"Berkenaan hal yang berlegar di media sosial, kami mengambil sikap berkecuali kerana kami tidak tahu keadaan yang sebenar," katanya dalam surat berkenaan.

Namun, pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut maklum mengenai cemuhan dan kata-kata kasar daripada netizen terhadapnya.

"Nasihat kami, cemuhan berkenaan tidak perlu dipedulikan dan diambil perhatian kerana sejujurnya ia akan lebih memberikan tekanan kepada saudara.

"Semoga Allah memberikan ketabahan kepada saudara dalam menempuh ranjau kehidupan dengan penuh kesabaran dan kekuatan. Amin," katanya.

Media sebelum ini melaporkan perilaku Iqram atau Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin dikatakan kian pelik oleh netizen ketika live di akaun Instagram miliknya.

Perangai pelik Iqram mula diperkatakan sejak Oktober lalu apabila sering berkongsi gambar di Instagram termasuklah swafoto bersama bapanya ketika sakit serta gambar di tanah perkuburan arwah bapanya sehingga mengundang pelbagai reaksi negatif.

Bapanya meninggal dunia pada 10 Oktober lalu kerana diabetes dan darah tinggi serta diserang angin ahmar.

Berita berkaitan

Saya tak mahu tuduh sesiapa

Saya tak kacau orang pun

Lagiaksi gila, lucah Iqram di alam maya

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 4:36pm
d