rap

Rakan baik tempat mengadu

Oleh Michelle Gun

Bukan semua orang menyukai kerjaya mereka, namun terpaksa diteruskan juga demi periuk nasi. Malah ada yang terpaksa berdepan bebanan tugasan dan tekanan di tempat kerja setiap hari.

Begitulah situasi dilalui sekumpulan wanita dalam drama bersiri Korea Selatan, The Best Moment to Quit Your Job yang diadaptasi daripada komik terkenal negara itu. Drama bersiri arahan Jun Jung Hwa itu mengetengahkan realiti dihadapi kebanyakan generasi muda masa kini di alam pekerjaan mereka. Dalam siri lapan episod itu mengisahkan pereka di sebuah kilang tisu basah, Yeon Ji lakonan Ko Won Hee sering berkongsi masalah di tempat kerja dengan rakannya.

Bercerita mengenai wataknya, Won Hee berkata, Yeon Ji mempunyai masalah rendah diri berikutan satu kejadian yang menimpanya ketika di sekolah.

“Akibat kejadian itu, dia menjadi trauma dan hilang keyakinan diri. Yeon Ji selalu membayangkan keadaannya pasti berbeza sekiranya syarikat menawarkan jawatan tetap,” katanya.

Seperti watak lakonannya, pelakon jelita itu suka berkongsi masalah dengan rakan baik.

“Apabila berdepan kesukaran, saya lega jika dapat meluahkan perasaan kepada seseorang. Cara itu dapat meringankan beban masalah yang dihadapi,” katanya.

Biarpun tiada pengalaman asas dalam rekaan, Won Hee menyedari tugasan dalam bidang itu bukan mudah berdasarkan pengalaman beberapa kenalannya.

“Setiap pekerjaan ada cabarannya, tetapi bidang rekaan ada banyak jenis bahagian yang memerlukan fokus terperinci dan meluangkan masa banyak untuk menyiapkan setiap tugasan,” katanya.

Menurut Won Hee, membaca komik The Best Moment to Quit Your Job sebagai persiapan sebelum penggambaran banyak membantu dia memahami karakter Yeon Ji.

“Sebenarnya, berlakon dalam drama itu tidak begitu sukar. Cuma, kalau ada bahagian kurang jelas, saya akan berbincang dengan pengarah supaya dapat menjiwai watak Yeon Ji.

“Bagi saya, babak paling dinantikan adalah babak berhenti kerja. Kisah dan emosi yang dipaparkan setiap karakter pasti menyentuh hati penonton,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai The Best Moment to Quit Your Job, Won Hee berpendapat drama itu realistik dan membabitkan situasi yang pasti difahami penonton.

“Itu antara sebab saya bersetuju berlakon dalam drama itu. Saya sendiri tersentuh hati ketika membaca komik itu biarpun jalan ceritanya mengisahkan sekumpulan pemuda baru melangkah masuk ke alam pekerjaan.

“Pasti penonton dapat ‘meletakkan’ diri mereka sendiri apabila menonton drama itu. Drama itu bukan kisah cinta dan komedi biasa tetapi ia menunjukkan bagaimana seseorang berasa lega jika ada yang prihatin dengan masalahnya,” katanya.

Turut membintangi The Best Moment to Quit Your Job, Lee Chung Ah, Jung Yeon Joo, Ko Kyung Pyo dan penyanyi Kim Jei.

Watak lain dalam siri ini adalah penyelia Yeon Ji, Sun Hee yang cepat marah dan sebenarnya sentiasa berasa sunyi. Rakan sebilik Yeon Ji, Nam Hee pula pelukis komik yang selalu bersikap optimis dan ceria. Manakala Hye Young pembuat kek dan roti yang mengimpikan untuk memiliki bakeri sendiri suatu hari.

Saksikan The Best Moment to Quit Your Job setiap Ahad, jam 8 malam di saluran Lifetime Asia (Astro 709).

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 3:59am
d