rap

Kamal G tiada terguris hati

Oleh Syanty Octavia Amry

PENGARAH filem Makrifat Cinta, Kamal G tidak ambil hati apabila ada segelintir pihak menganggap filem berkenaan adalah arahan Syamsul Yusof.

Kamal ditemui berkata, dia tidak ambil hati jauh sekali hendak marah kerana faham dirinya belum dikenali.

"Saya masih baru dalam bidang pengarahan filem dan ini adalah filem Melayu pertama arahan saya. Apabila ada yang tidak kenal saya faham.

"Disebabkan Syamsul adalah watak utama dalam filem ini ramai menyangka dia adalah pengarahnya. Saya tiada masalah tentang hal itu secara tidak langsung ia dapat membantu mempromosikan lagi filem ini," katanya.

Filem Makrifat Cinta bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 1 Februari depan.

Selain Syamsul filem itu juga menampilkan lakonan Nora Danish, Nabila Huda, Puteri Balqis dan ramai lagi.

Kamal berkata, filem berkenaan menggunakan 50 peratus khidmat produksi daripada luar.

"Filem ini menelan belanja sebanyak RM4 juta berikutan saya menggunakan separuh kru produksi dari Mumbai, India.

"Tidak saya nafikan filem ini mengaitkan unsur filem Bollywood dan berharap sekali gus ia dapat menarik minat penonton Bollywood," katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 5:42pm
d