rap

Harissa mencari tapak

Oleh Ramlah Zainal

Bakatnya mula digilap dalam bidang muzik sejak kecil. Malah, pendatang baru, Harissa Adlynn Halim sudah mula menyanyi dan mencipta lagu pada usia sembilan tahun.

Ternyata, bakat besar dimiliki Harissa, 14, berjaya membuka mata pihak Fastyleasia untuk menawarkannya ber­naung di bawah pengurusan mereka.

Buat permulaan, Harissa mempertaruhkan single pertamanya berjudul Aku Sayang Kamu bagi mencari tapak dalam dunia hiburan tanah air.

Lagu genre balada itu hasil sentuhan penyanyi dan komposer terkenal Aizat Amdan dan Mel Ramlan. Ia diedarkan syarikat rakaman Warner Music.

Ketika ditemui RAP, Harissa berkata, dia berharap single pertamanya itu menjadi platform untuk dia melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian.

“Saya sangat meminati bidang nyanyian sejak di bangku sekolah rendah dan sudah menulis lebih 20 lagu dalam simpanan.

“Impian untuk bergelar artis rakaman tercapai apabila bertemu penerbit Anas Amdan (abang kepada Aizat) sempena festival muzik sebelum ini.

“Abang Anas yang memperkenalkan saya dengan pihak Fastyleasia yang turut menawarkan bernaung di bawah pengurusan mereka,” katanya.

Harissa berkata, dia bertuah kerana lagu Aku Sayang Kamu turut dimuatkan dalam album runut bunyi filem TV Wanita Terindah yang bersiaran di Astro First Eksklusif.

“Sebagai penyanyi baru pastinya saya bersyukur kerana diberi kepercayaan menya­nyikan lagu untuk runut bunyi filem TV Wanita Terindah.

“Apa yang menarik, lagu Aku Sayang Kamu bukan sekadar terhad kepada perasaan sayang pasangan bercinta sebaliknya lebih meluas.

“Ia juga menceritakan kasih sayang anak kepada ibunya, abang kepada adiknya dan kasih sayang yang ikhlas hingga ke syurga,” katanya.

Pelajar cemerlang di sekolah

Walaupun menceburi bidang nyanyian, Harissa tetap mengutamakan pelajarannya sejak dulu.

Menurut Harissa, apa yang penting dia perlu bijak membahagikan masa supaya kedua-duanya bergerak seiringan.

“Saya mendapat sokongan padu keluarga untuk menceburi bidang nyanyian.

“Saya perlu memastikan cemerlang dalam akademik di sekolah. Kini, saya ‘top 5’ pelajar terbaik di sekolah menengah.

“Selain bidang nya­nyian, impian saya untuk menjadi doktor dan menjadi inspirasi kepada orang lain,” katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 2:34am
d