rap

Rebut peluang kali kedua

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Ramai penggiat memberikan pandangan program realiti seperti Gegar Vaganza mampu menghidupkan semula kerjaya penyanyi lama yang nama mereka semakin dilupakan generasi terkini.

Tambahan pula dengan perubahan muzik yang bergerak pantas membuatkan ada antara penyanyi lama atau senior semakin tersisih daripada industri.

Bukti penyanyi yang kembali menyinar selepas menyertai program Gegar Vaganza adalah juara musim kedua Siti Nordiana dan musim ketiga, Azharina. Beberapa lagi penyanyi senior walaupun tidak muncul juara, nama mereka berjaya meniti di bibir peminat antara mereka Ezad Lazim, Zarul Umbrella, Siti Sarah, Elly Mazlein dan Ifa Raziah.

Boleh dikatakan hampir semua peserta yang muncul dalam program terbitan Astro itu kembali aktif dan paling tidak, mereka sudah atau sedang menghasilkan single dan mencuba bakat dalam bidang lakonan.

Bagi mereka yang tidak berjaya muncul juara dalam Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang selesai beberapa minggu lalu juga, mempunyai perancangan untuk meneruskan kerjaya seni memandangkan ada antara mereka sebelum ini sudah berehat panjang.

Penyanyi utama kumpulan Jinbara, Syamsul Bakhtiar Zakaria atau Tia, bersedia untuk kembali aktif sama ada secara solo mahupun berkumpulan. Dia yang ditemui baru-baru ini menegaskan bersedia untuk kembali aktif. Begitupun ia bergantung pada rezeki.

“Sebelum menyertai GV4 saya akui kerjaya seni agak perlahan. Begitu juga dengan kumpulan Jinbara. Walaupun lagu yang pernah Jinbara popularkan masih berkumandang di radio, tawaran untuk mengadakan persembahan berkurangan,” katanya.

Jujur jelas Tia, dia mengharapkan pembabitannya dalam program GV4 mampu mengembalikan ingatan peminat terhadap dirinya mahupun kumpulan yang dianggotai.

Menyentuh mengenai perancangannya untuk terus aktif dan dalam waktu sama bersedia menghasilkan lagu solo, katanya, anggota kumpulan Jinbara sentiasa bersikap terbuka. Malah perkara itu diamalkan sejak dulu lagi.

“Syukur mereka faham dengan situasi saya apabila membuat keputusan untuk muncul dalam GV4 ini, sedangkan pada awal pembabitan sewaktu uji bakat dan memberikan persetujuan untuk menyertainya, anggota kumpulan Jinbara tidak tahu. Apabila mereka lihat saya beraksi barulah mereka tahu yang saya berupa salah seorang peserta.

“Sejak itu mereka terus memberikan sokongan dan saya sangat terharu mereka hadir pada konsert persaingan peringkat separuh akhir,” katanya.

Kata Tia, hubungan istimewa antara anggota kumpulan Jinbara membezakan mereka dengan kumpulan lain. Tambahnya, setiap anggota juga bersedia bergabung apabila setiap kali diperlukan.

“Mengenai tawaran selepas ini, pasti saya menerimanya dengan tangan terbuka, dan sudah tentu saya cuba membuat pilihan terbaik untuk saya dan kumpulan Jinbara,” katanya.

Bagi Hazami yang juga dikenali juga sebagai komposer, pembabitannya dalam GV4 sebagai pembuka pintu rezeki dan perancangannya untuk menghasilkan album duet bakal terlaksana.

“Saya berasa sangat gembira apabila beberapa peserta dalam GV4 terutama Aishah, Lan Solo dan Liza Hanim bersetuju untuk menyumbangkan suara mereka untuk album duet bakal dihasilkan.

“Selain daripada itu beberapa rakan penyanyi lain seperti Firman juga minta saya cipta lagu untuknya. Dan semua ini akan dilaksanakan sebaik GV4 selesai,” pemenang keempat GV4 ini.

Katanya, album khas itu juga dibuat sempena ulang tahun ke-15 pembabitannya dalam industri muzik, dan selepas tampil dengan album kelapan secara solo, menghasilkan album duet dengan rakan-rakan penyanyi terpilih adalah sangat istimewa.

“Sudah tiba masanya untuk saya menumpukan kembali kepada kerjaya nyanyian dan mengehadkan urusan penerbitan lagu,” katanya.

Bekas penyanyi utama kumpulan Kristal, Lan atau kini mahu dikenali sebagai Lan Solo, menegaskan sebaik GV4 selesai dia dan pasukan kerjanya yang baru belum lagi memutuskan langkah seterusnya.

“Bagaimanapun projek solo ini harus diteruskan demi kelangsungan kerjaya dan kehidupan keluarga saya. Apa yang pasti selepas ini kerjaya seni saya akan ditentukan saya dan isteri yang bertindak sebagai pengurus,” katanya.

Bercerita lanjut membabitkan hubungannya dengan kumpulan Kristal, dia menyifatkan mereka sudah bercerai dengan talak satu.

Katanya, walaupun sebelum ini dia berasa bimbang apabila terpaksa bergerak sendiri, susukan penyertaan dalam GV4 dan melihat pada sokongan diberikan penggiat industri dan peminat, dia yakin untuk bergelar penyanyi solo selepas ini.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 3:23am
d