rap

Hafiz Suip timang anak lelaki

Oleh Najiy Jefri

ISTERI penyanyi popular, Hafiz Suip, Nureffy Jesreel Abdullah, 24, selamat melahirkan cahaya mata lelaki kira-kira 8 pagi semalam.

Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 27, berkongsi berita gembira itu di Instagram peribadinya dengan memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan kaki kanan bayi sulungnya itu.

Menerusi gambar terbabit, Hafiz meluahkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dengan kelahiran cahaya mata sulungnya itu dan berterima kasih kepada Nureffy.

“Assalamualaikum semua, pertama sekali saya bersyukur ke-hadrat Ilahi di atas kurniaNya, cahaya mata yang amat bermakna dalam hidup dan hadiah pembuka tirai untuk tahun 2018 buat hambanya yang lemah ini.

“Jutaan terima kasih kepada isteri untuk momen yang paling indah dan hadiah istimewa tahun ini. Tidak dilupakan buat keluarga serta rakan-rakan yang banyak memberi sokongan termasuk doktor dan kakak-kakak jururawat yang memberikan khidmat terbaik menyambut kelahiran anak sulung saya,” tulisnya.

Harian Metro cuba untuk mendapatkan reaksi Hafiz bagaimanapun gagal apabila dia tidak menjawab panggilan telefon mahupun pesanan WhatsApp.

Sebelum ini, Hafiz pernah berkongsi kepada Harian Metro bahawa dia ingin memberikan nama Mohamad Riyadh untuk anak sulungnya itu.

"Saya memilih nama ini kerana ia bermaksud taman bunga yang makmur. Saya juga bercadang untuk membuka akaun Instagram peribadi untuknya nanti," katanya.

Hafiz dan isteri berkahwin pada 14 Mei 2016 dalam sebuah majlis yang diadakan di kediaman Nureffy di Taman Matang Jaya, Kuching, Sarawak.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 6:37pm
d