rap

Tunggulah hari nikah saya

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“IKUTKAN saya ingin merahsiakan majlis pertunangan ini, tetapi ramai pula yang berkongsi,” kata penyanyi Tasha Manshahar yang mengesahkan dia selamat bertunang dengan lelaki kelahiran Melaka pada 24 Disember lalu.

Tasha yang kini bertugas sebagai guru di Melaka berkata, dia dan tunangnya bakal melangsungkan majlis nikah pada pertengahan tahun ini.

“Alhamdulillah majlis berjalan lancar, sederhana dan teratur. Ia dihadiri oleh keluarga dan kawan rapat.

“Selepas lebih setahun berkenalan dan berkawan, sekarang kami diizinkan untuk melangkah ke fasa seterusnya.

“Tarikh majlis sudah ditetapkan, cuma saya belum boleh berkongsi. Insya Allah, saya akan beritahu kelak. Apa boleh dikatakan, kami sudah mulai membuat persiapan majlis yang bakal berlangsung,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai majlis nikah nanti, Tasha berkata ia bakal diadakan di Kuala Lumpur dan bukan di kampung halamannya di Sandakan, Sabah.

“Memandangkan sekarang saya bertugas di Melaka, jadi saya tak ada banyak masa untuk menguruskan majlis jika diadakan di Sabah.

“Jadi, saya memilih untuk melangsungkan majlis di sini saja. Insya Allah, keluarga saya turun KL,” katanya.

Ditanya mengenai identiti bakal suaminya, Tasha belum bersedia untuk berkongsi lanjut.

“Ini baru majlis tunang, jadi belum masa sesuai saya nak perkenalkan. Insya Allah, pada majlis nikah nanti semua orang akan tahu juga,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 5:33pm
d